Indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) telah mencatat peningkatan sebanyak 15 peratus setakat tahun ini pada akhir dagangan Rabu dan menjadikan Bursa Malaysia muncul pasaran mencatat prestasi terbaik di ASEAN.
Prestasi itu juga menyaksikan permodalan pasaran keseluruhan bursa kepada RM2.05 trilion.
"Pasaran juga aktif dengan purata nilai dagangan harian (ADV) setakat tahun ini melonjak sebanyak 64 peratus kepada RM3.37 bilion daripada RM2.06 bilion dalam 2023.
"Pelabur asing menyumbang sebanyak 35 peratus kepada nilai dagangan dengan aliran masuk bersih sebanyak RM3.99 bilion," katanya dalam ucaptama di Invest Malaysia 2024 @ Iskandar Puteri di sini, hari ini.
Abdul Wahid berkata prestasi yang kukuh itu disumbangkan persekitaran makroekonomi yang baik di Malaysia, perdagangan mantap yang berterusan serta sokongan kerajaan.
Bagi tempoh separuh pertama 2024, Bursa Malaysia turut mendahului di peringkat ASEAN dari segi tawaran awam permulaan (IPO) dengan mengumpul US$450 juta (US$1 = RM4.13) dan menyumbang 33 peratus daripada pasaran IPO rantau itu.
"Kita mencatat sebanyak 35 penyenaraian setakat ini dengan pengumpulan dana sebanyak RM6.1 bilion manakala modal pasaran IPO berjumlah RM25.7 bilion.
"Ada beberapa lagi penyenaraian yang dijangkakan pada tempoh baki suku 2024. Kita optimis untuk mencapai sasaran sebanyak 42 IPO tahun ini, tahap yang tidak dicapai sejak 2006 dengan 40 penyenaraian," katanya.
Invest Malaysia 2024 @ Iskandar Puteri merupakan acara anjuran Bursa Malaysia dengan penganjur bersama Maybank, CIMB Securities dan HSBC Malaysia yang bertemakan 'Where Policy Meets Progress.'
Persidangan sehari itu juga mengetengahkan Iskandar sebagai gerbang selatan utama ke negara ini dengan tumpuan terhadap pembangunan penting seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura serta insentif lain untuk pelabur.
-- BERNAMA