Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ada cubaan untuk mewujudkan kerajaan sebegitu namun usaha itu tidak berjaya kerana BN menegaskan mahu menang lebih daripada 30 kerusi.
Menurutnya, berdasarkan calon yang kebanyakannya berwajah baharu dan berkaliber, beliau optimis sasaran BN Perak mampu direalisasikan.
BACA: PRU15: Pengundi 18 tahun diingatkan jangan tersilap guna kepercayaan, pilih kerajaan stabil - Saarani
“Saya tidak boleh sebut bahawa ada kemungkinan untuk menubuhkan kerajaan campuran. Kalau saya sebut begitu, bermakna rakyat akan bercempera, tak boleh fokus.
“Saya lebih suka sebut tolong beri kepercayaan, sekurang-kurangnya 30 kerusi, lebih lagi bagus.
“Tetapi menjadi kerajaan 30 kerusi adalah kerajaan sangat lemah dan rapuh dan ia tidak akan beri keyakinan, kepercayaan kepada pelabur-pelabur,” katanya.
Tegasnya, sukar untuk mentadbir kerajaan negeri sekiranya tiada parti dominan kerana masing-masing akan membawa agenda tersendiri yang kemudian menimbulkan suasana tidak harmoni.
Beliau berkata demikian dalam temu bual khas bersama Astro AWANI di kediaman rasminya baru-baru ini.
Saarani sebelum ini berkata BN Perak menyasarkan sekurang-kurangnya menang 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 15 kerusi Parlimen pada PRU15.
Menurutnya, sasaran itu mampu direalisasikan melihat kepada kekuatan BN dan keputusan pada pilihan raya umum yang lalu.
Tambah beliau, antara kerusi DUN tambahan disasarkan termasuklah kerusi Kamunting, Titi Serong, Behrang, Sungai Rapat, Pasir Panjang, Manjoi, Selama, Kubu Gajah, Hulu Kinta dan beberapa lagi.