Ringkasan AI
- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berpuas hati dengan prestasi tujuh menteri dan beberapa timbalan menteri BN dalam Kerajaan Perpaduan.
- Beliau menyeru semua anggota BN bersatu, menyelesaikan masalah dalaman secara tertutup, dan fokus memperkukuh gabungan sempena ulang tahun ke-50 BN.
- BN akan berunding untuk mendapatkan lima kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-16.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata biarpun sesetengah pihak menganggap kehadiran BN dalam kerajaan sekadar pelengkap namun kesemua tujuh menteri BN dan beberapa timbalan menteri itu tetap fokus menjalankan tugas demi negara.
Beliau berkata keutuhan BN menerusi hubungan pemimpin dalam kalangan parti komponen juga amat baik dengan kesemuanya mendukung perjuangan gabungan itu.
"Ini yang kita mahu, biarpun ada wakil daripada BN ini menjadi timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan walhal dalam kerajaan dahulu pernah jadi menteri, tapi tak kisah dan tidak tunjuk putus asa, tetap bekerja," katanya dalam ucapan pada Konvensyen Barisan Nasional Wilayah Persekutuan 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.
Sehubungan itu Ahmad Zahid berharap semua anggota BN terus mengambil pendekatan melihat ke hadapan seterusnya memperkukuh semula gabungan itu yang menginjak usia 50 tahun penubuhannya tahun ini.
"Prestasi baik, pimpinan komponen pun cukup bersatu ketika ini, jadi saya harap dalam keadaan sekarang ini, cukup-cukup kita timbulkan masalah dalaman, lupakan titik bengik antara kita semua dan teruskan berpadu.
"Kita harus dominan pada pilihan raya akan datang, jadi bersatulah, jika kita ada masalah dalaman baik UMNO, MCA, MIC, PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) malah Friends of BN, selesaikan (secara) dalaman, jangan bergaduh di khalayak," katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata BN akan berunding dengan rakan di dalam Kerajaan Perpaduan untuk mendapatkan lima kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan bagi Pilihan Raya Umum ke-16 kelak.
Ketika ini BN menguasai satu kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan menerusi Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Parlimen Titiwangsa.
-- BERNAMA