MAKKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) sentiasa memantau operasi 25 syarikat pelancongan yang diberikan lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk memastikan kesemua syarikat berkenaan memberi khidmat terbaik kepada jemaah haji.


Ringkasan AI
  • Lembaga Tabung Haji (TH) memantau 25 syarikat pelancongan yang diberi lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk memastikan khidmat terbaik kepada jemaah haji dari Malaysia.
  • Pemantauan dilakukan dari tanah air hingga Tanah Suci, termasuk penginapan di Madinah dan Makkah serta penempatan di khemah-khemah di Masyair.
  • Syarikat pelancongan yang diberi lesen PJH perlu memenuhi syarat ketat untuk mengelakkan penipuan, dan 26% jemaah haji tahun ini memilih PJH atas faktor kewangan yang kukuh.


Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji (PJH) Anuar Ahmad berkata pemantauan dilakukan bermula dari tanah air hingga Tanah Suci termasuk penyelarasan penerbangan dengan pesawat sewa khas, penginapan di Madinah dan Makkah sehingga penempatan di khemah-khemah di Masyair.

"Kita di bahagian operasi PJH ini perlu pastikan setiap ringgit yang dikeluarkan oleh jemaah ini benar-benar setimpal dengan wang yang mereka laburkan dan bayar kepada PJH ini.

"Ini peranan utama bahagian operasi PJH dari segi pelarasan dan pemantauan bagi memastikan semua jemaah haji Malaysia dapat memberi perkhidmatan terbaik tidak kira sama ada mereka menunaikan haji menerusi TH atau PJH," katanya kepada petugas media di Ibu Pejabat TH di sini baru-baru ini.

Beliau berkata sebelum diberikan lesen PJH, kesemua 25 syarikat terlibat perlu melalui tapisan ketat selain harus memenuhi syarat ditetapkan seperti mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan berpengalaman dalam pengurusan umrah sekurang-kurangnya tiga tahun berturut-turut.

Syarat ketat itu dikenakan bagi memastikan hanya syarikat pelancongan tempatan yang berwibawa serta memiliki kapasiti teguh diberikan lesen berkenaan sekali gus untuk mengelakkan berlakunya penipuan pakej haji.

Pada tahun ini katanya, sebanyak 26 peratus daripada 31,600 jemaah haji memilih untuk menunaikan rukun Islam kelima itu menerusi PJH terdiri daripada mereka yang mempunyai kewangan kukuh.

Ini memandangkan setiap pakej ditawarkan oleh PJH kebiasannya bermula daripada harga RM50,00 hingga RM200,000 bergantung kepada kelas penerbangan, jarak antara penginapan dengan masjid serta penyediaan makanan.

Sementara itu, Anuar berkata sangkaan sesetengah pihak bahawa bakal jemaah haji menggunakan khidmat PJH ini memotong giliran adalah tidak tepat kerana kesemua jemaah itu adalah dalam senarai 31,600 jemaah yang mendapat surat tawaran daripada TH.

“Semasa surat tawaran dikeluarkan semua jemaah boleh memilih sama ada hendak pergi menerusi pakej ditawarkan, TH, atau TH Travel Services Sdn Bhd atapun PJH,” katanya.

-- BERNAMA