KUALA LUMPUR: Menjelang Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Jumaat ini, kerajaan disaran menumpukan kepada usaha memulihkan sistem pendidikan negara dengan mempertimbangkan beberapa inisiatif.

Pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad berkata, antara perkara yang perlu dipertimbang ialah meningkatkan akses pendidikan awal kanak-kanak serta peruntukan bagi pendidikan digital di sekolah.

Kata beliau, pasca pandemik, sektor pendidikan negara mengalami berbagai cabaran besar, antaranya isu keciciran murid, jurang pendidikan antara wilayah, kemudahan sekolah yang daif dan kekurangan guru, yang membawa kepada pencapaian kualiti pendidikan yang tidak memuaskan.

"Misalnya, pencapaian negara di dalam penilaian Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 yang merosot teruk. Juga, penurunan bilangan murid dalam aliran Sains Tulen.

"Begitu juga, hampir 50 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia tidak mahu menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan laporan keciciran literasi serta pembelajaran yang membimbangkan oleh Bank Dunia pada April lalu.

"Jelas pada kita, sistem pendidikan negara sedang melalui krisis yang memerlukan pemulihan segera secara besar-besaran dan menyeluruh. Belanjawan 2025 diyakini dapat memulihkan semula pencapaian dan kualiti sistem pendidikan," katanya dalam satu kenyataan.

Anuar yang merupakan pensyarah kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan UKM berpendapat, bagi merealisasikan usaha memulihkan sistem pendidikan negara, kerajaan perlu menyediakan lebih banyak kemudahan prasekolah, tadika dan tabika di seluruh negara.

"Bagi kumpulan isi rumah miskin dan B40, kerajaan disaran menyediakan bantuan dalam bentuk subsidi untuk yuran prasekolah swasta di kawasan yang tidak mempunyai prasekolah yang diuruskan kerajaan.

"Penyediaan lebih banyak prasekolah kerajaan dan subsidi yuran prasekolah swasta kepada golongan miskin akan meningkatkan kadar literasi dan numerasi murid," ujarnya.

Beliau turut mencadangkan agar program Rancangan Makanan Tambahan diteruskan dan ditambah bilangan pesertanya.

Jelasnya, pada Belanjawan 2024 yang lalu, RM788 juta disediakan untuk program tersebut dan ia secara langsung memberi manfaat kepada lebih sejuta murid-murid miskin di seluruh negara.

Anuar juga menyarankan penstrukturan semula jumlah pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang dinikmati lima juta murid dalam belanjawan tahun ini.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan ia benar-benar memberi manfaat terbesar kepada murid.

"Kemampuan peruntukan kerajaan terhadap pemberian BAP secara sama rata tidak begitu sesuai diamalkan lagi. Ini kerana, terdapat murid yang lebih memerlukan BAP bagi tujuan persekolahan berbanding murid lain yang lebih kaya dan mampu.

"Sehubungan itu, BAP seharusnya disusun semula dengan perkadaran yang lebih munasabah. Misalnya kategori T20-RM100, M40-RM150 dan B40-RM200," saran beliau.

Selain itu, Anuar turut mencadangkan agar asrama harian diwartakan sebagai institusi bantuan pendidikan hanya untuk murid miskin manakala sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains MARA diwartakan sebagai institusi bantuan pendidikan untuk murid miskin yang berprestasi paling cemerlang.

Tambah beliau, kerajaan perlu membina lebih banyak sekolah baru (rendah dan menengah) di kawasan bandar yang sedang berhadapan dengan isu sekolah sesak murid.

Kerajaan juga wajar meningkatkan peruntukan pendidikan digital untuk semua sekolah atau mewujudkan kerjasama dengan pihak industri dan memulakan program ‘sekolah angkat digital’.

Menurut Anuar lagi, Belanjawan 2025 juga perlu diisi dengan meningkatkan peruntukan untuk menambahkan bilangan murid dalam aliran Sains Tulen dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Seterusnya beliau mencadangkan agar bilangan institusi yang menawarkan latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) ditambah.

Justeru, katanya Kementerian Pendidikan disaran menyediakan kerangka dasar untuk memulakan aliran TVET di Tingkatan Satu.

Beliau juga memberi cadangan agar peruntukan khas diumumkan bagi menaik taraf semua bilik guru dan kuarters penginapan kumpulan itu, khususnya di kawasan pedalaman.

Inisiatif lain dicadang beliau termasuk menaikkan elaun guru Semenanjung yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2025.

Begitu juga dengan elaun guru berasal dari Sabah dan Sarawak yang berkhidmat di Semenanjung.

"Belanjawan 2025 adalah solusi terbaik untuk memulihkan kembali sistem pendidikan negara.

"Semoga isu keciciran murid, sekolah daif, kebajikan guru, STEM, TVET dan kemudahan digital menjadi teras utamanya untuk sektor pendidikan," ujarnya.