KUALA LUMPUR: Institusi pengajian tinggi mempunyai tanggungjawab untuk memenuhi agenda pembangunan negara dengan menyediakan bakat dan peluang pekerjaan.

Namun begitu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, kerjasama semua pihak adalah penting untuk menangani landskap pekerjaan yang berubah dengan pantas, selain turut memberi tumpuan kepada pembentukan sahsiah kemanusiaan yang tinggi dalam kalangan anak muda.

“Universiti ada peranan besar dalam memenuhi agenda negara termasuklah dalam menyediakan bakat-bakat untuk berada dalam pasaran.

“Peranan penting juga harus dimainkan oleh semua dalam memastikan supaya apa yang nak kita sediakan, contohnya (memenuhi) perubahan-perubahan yang berlaku di hadapan kita dengan begitu pantas sekali dalam bidang pekerjaan dan teknologi yang baharu yang diperkenalkan, ini akan mencorakkannya satu bentuk pekerjaan atau alam pekerjaan baharu juga,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Agenda AWANI, pada Isnin.

Jelasnya, Kementerian Pengajian Tingg menjalin kerjasama dengan kementerian lain termasuk Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), serta Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), untuk memupuk dan membangunkan bakat secara berkesan, termasuk peruntukan dana bagi memastikan pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat asas dan lanjutan.

“Inilah apa disebutkan sebagai ekosistem dan melibatkan kementerian-kementerian lain juga kita duduk bersama-sama.

“Seperkara lagi melibatkan TVET, di mana seperti yang kita maklum kerajaan telah memperuntukkan satu jumlah yang besar bagi memastikan supaya pembinaan TVET bukan saja peringkat asas tetapi juga lanjutan juga,” katanya.

Tambahnya lagi, isu global yang saling berkaitan memberi kesan kepada tenaga kerja di seluruh dunia, dan institusi pengajian tinggi perlu menyesuaikan diri dengan pantas bagi memastikan bakat baharu dilatih dan dilengkapi untuk keperluan masa hadapan.