KUALA LUMPUR: Jalinan kerjasama dalam sektor pendidikan dengan semua negara di rantau ASEAN akan mampu mencungkil lebih banyak kepakaran dan kemahiran yang diperlukan di rantau ini khususnya Malaysia.


Ringkasan AI
  • Jalinan kerjasama dalam sektor pendidikan dengan semua negara di rantau ASEAN akan mampu mencungkil lebih banyak kepakaran dan kemahiran yang diperlukan di rantau ini khususnya Malaysia.
  • Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, Malaysia tidak boleh sama sekali kekal dalam kepompong sendiri dan perlu melihat perkembangan di peringkat luar.
  • Sebagai usaha mengesan dan melahirkan modal insan berbakat dan berkemahiran di Malaysia, kesemua kementerian dalam pentabdiran Kerajaan MADANI akan terus bekerjasama.


Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, Malaysia tidak boleh sama sekali kekal dalam kepompong sendiri dan perlu melihat perkembangan di peringkat luar.

‘’Kita tidak boleh lagi berada dalam ecochamber kita atau pemikiran ecochamber maknanya kita tidak dapat melihat perkembangan-perkembangan di luar yang berlaku di hadapan kita.

‘’Dalam konteks ASEAN yang ada pada hari ini juga, Malaysia sedang berusaha untuk memastikan supaya ASEAN Education Network dapat kita sempurnakan.

‘’Maknanya dari segi kerjasama dengan pelbagai university-universiti dan politeknik-politeknik yang ada dalam negara ASEAN dapat mengangkat dan mencungkil kepakaran dan kemahiran yang ada dalam rantau ini khususunya dalam konteks Malaysia,’’ katanya.

Zambry berkata demikian kepada Astro AWANI menerusi program Agenda AWANI memfokuskan kepada Pendidikan Tinggi Kalis Pasaran Kerja Masa Hadapan yang dirakam sempena Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland.

Tambahnya, sebagai usaha mengesan dan melahirkan modal insan berbakat dan berkemahiran di Malaysia, kesemua kementerian dalam pentabdiran Kerajaan MADANI akan terus bekerjasama.

Ini bagi melahirkan modal insan yang memiliki kemahiran yang diperlukan oleh industri-industri baharu.

Ujarnya, kerjasama ini sangat diperlukan dan setiap kementerian tidak boleh bekerja secara silo.

‘’(Dalam) Kerajaan MADANI ini kita bekerja sebagai satu pasukan the whole of government approach yang mana melibatkan semua Kementerian-kemenetrian yang terkait dengan soal pembinaan talent skill dan sebagainya.

‘’Kita ambil contoh KESUMA, MITI yang perlukan tenaga kerja dan juga jangan lupa yang paling besar datangnya daripada Kementerian Pendidikan Tinggi.

‘’Jadi kita bekerja sebagai satu pasukan, kita tidak bersaing nak menunjukkan siapa yang lebih,’’ tambahnya.