KUALA LUMPUR: Peruntukan terbesar untuk sektor pendidikan dalam Belanjawan 2025 jelas membuktikan komitmen kerajaan untuk mengukuhkan asas pendidikan negara dan menjayakan 'keadilan pendidikan'.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata usaha untuk menjayakan ‘keadilan pendidikan’ dilihat mula digerakkan sejak Belanjawan 2023 lagi.

Jelasnya, elemen itu menjadi antara tumpuan utama kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, Belanjawan 2025 pula dilihat terus cuba untuk menggembleng usaha mengukuhkan asas pendidikan negara.

“Tiga tumpuan utama bagi sektor pendidikan negara di dalam Belanjawan 2025 jelas satu usaha kerajaan untuk mengukuhkan asas pendidikan.

“Tumpuan itu adalah penyediaan infrastruktur dan kemudahan sekolah yang lebih baik, menyediakan bantuan langsung kepada murid daripada keluarga miskin, dan memperkasa aliran TVET.

“Beberapa isu pendidikan negara yang kritikal seperti sekolah daif, penyelenggaraan kemudahan, keciciran pendidikan, dan jurang digital diharapkan dapat diselesaikan dengan peruntukan dari Belanjawan 2025,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, perkara penting selepas ini ialah memastikan keberkesanan pelaksanaan dan kecekapan sistem penyampaian sistem pendidikan negara.

Tegasnya, jika keberkesanan pelaksanaan dan sistem penyampaian pendidikan masih di takuk lama dan tidak dipertingkatkan, sukar untuk melihat kualiti pendidikan negara akan mengalami peningkatan dalam masa terdekat. 

Astro AWANI pada Sabtu melaporkan, sektor pendidikan yang menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2025 disifatkan sebagai memenuhi keperluan semua segmen pelajar dan mampu mengangkat martabat rakyat melalui pendidikan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata komitmen besar daripada kerajaan itu adalah inklusif yang bermaksud tiada anak-anak yang akan terpinggir serta semua segmen pelajar mendapat manfaat daripada peruntukan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, semalam mengumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) telah diberi peruntukan tertinggi sebanyak RM64.1 bilion berbanding RM58.7 bilion ringgit tahun ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan itu antara lain bagi projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara, pembinaan sekolah baharu, bantuan pendidikan, serta bantuan awal persekolahan.

Selain itu, 11 Pusat Permata baharu akan dibina bagi melengkapkan setiap negeri dengan pusat didikan anak-anak autistik termasuk di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.