KUALA TERENGGANU: Keracunan makanan melibatkan 32 pelajar sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Terengganu disyaki berpunca daripada telur goreng yang didakwa telah berubah bau dan rasa.


Ringkasan AI
  • Seramai 32 pelajar di sebuah SBP di Terengganu mengalami keracunan makanan, disyaki berpunca daripada telur goreng yang berubah bau dan rasa.
  • Sejumlah 23 pelajar menerima rawatan pesakit luar, dua dimasukkan ke wad, dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar.
  • Pejabat Kesihatan Daerah telah mengambil tindakan kawalan dan pencegahan, dan pengusaha kantin dinasihatkan untuk memantau kebersihan dan keselamatan makanan.


Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, bagaimanapun pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian keracunan makanan berkenaan.

Beliau berkata, tindakan kawalan dan pencegahan telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terlibat.

"Kita telah menerima satu laporan kejadian keracunan makanan melibatkan pelajar-pelajar yang berumur antara 13 hingga 17 tahun di sebuah sekolah berasrama pada 15 Ogos lepas.

"Hasil siasatan mendapati sebanyak 32 daripada 629 pelajar telah mengalami gejala keracunan makanan selepas makan malam di kantin sekolah pada 14 Ogos lepas.

"Gejala utama yang dilaporkan adalah loya, muntah, sakit perut, cirit-birit, dan demam," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Dr Kasemani berkata, sebanyak 23 kes telah mendapatkan rawatan pesakit luar di hospital dan klinik kesihatan, manakala dua kes telah dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.

Katanya, kedua-dua pelajar yang dimasukkan wad itu berada dalam keadaan stabil dan telah dibenarkan pulang.

Dalam pada itu, beliau berkata, kejadian keracunan makanan di kantin dan dapur asrama sekolah boleh dielakkan sekiranya pengusaha sentiasa memantau dan menyelia proses penyediaan makanan mengikut garis panduan keselamatan makanan yang telah disediakan.

"Pengusaha juga perlu memantau tahap kebersihan serta mengambil tahu dari mana sumber bekalan bahan makanan bagi memastikan keselamatan makanan di sepanjang rantaian bekalan adalah terkawal.

"JKNT juga ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan konsep lihat, hidu, dan rasa sebelum makan atau minum bagi mengelakkan kejadian keracunan makanan," jelas beliau.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan ibu bapa pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di Terengganu mendakwa anak mereka kerap mengadu sakit perut dan mengalami gejala keracunan makanan seperti ciri-birit sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital.

Terbaharu kejadian pada Khamis lalu menyebabkan lebih 21 pelajar mengalami simptom tersebut dan ada antara mereka terpaksa ditahan di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini serta beberapa hospital swasta untuk menerima rawatan. -Sinar Harian