IPOH: Kantin Sekolah Kebangaaan (SK) Chepor diarah tutup selama 14 hari mulai semalam, selepas 101 orang murid mengalami keracunan makanan.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, arahan itu dikeluarkan apabila pemeriksaan semalam mendapati penilaian premis makanan berasaskan risiko adalah tidak memuaskan dengan tahap rating 67.9 peratus.

Menurutnya, pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta telah mengeluarkan arahan itu di bawah Seksyen (11) Akta Makanan 1983.

“Selain itu, satu kompaun juga telah dikeluarkan atas kesalahan pemakaian aksesori sewaktu mengendalikan makanan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 10 sampel klinikal ’stool culture and sensitivity’ (C&S) diambil dalam kalangan pelajar yang bergejala dan dihantar untuk dianalisa di Makmal Kesihatan Awam, Ipoh (MKAI).

Selain itu, katanya, satu sampel makanan proxy, air, swab pisau, swab papan pemotong dan permukaan meja serta tiga sampel swab pengendali juga telah diambil.

Menurut Dr Feisul, berdasarkan hasil siasatan awal, makanan yang disyaki menjadi punca keracunan makanan itu adalah minuman bancuhan berperisa coklat dan ayam goreng yang disediakan di dapur kantin tersebut.

“Pelajar-pelajar telah mengadu bahawa minuman berperisa coklat yang telah dijual di kantin pada Selasa, berbau ”masam” semasa diminum.

“Pelajar turut mengadu ayam goreng yang dijual, tidak dimasak dengan sempurna dan sebahagian daging ayam tersebut masih mentah,” ujarnya.

Tambahnya, berdasarkan gejala dan tempoh inkubasi kes ajen yang disyaki menyebabkan keracunan ini adalah Salmonella spp.

Terdahulu, beliau berkata, kira-kira jam 8 pagi Rabu, pihaknya melalui PKD Kinta telah menerima notifikasi melalui sistem eNotifikasi mengenai lima murid SK Chepor yang menunjukkan gejala keracunan makanan seperti cirit, muntah, sakit perut dan demam telah menerima rawatan di dua fasiliti kesihatan di sekitar Ipoh.

Katanya, Unit Kawalan Penyakit Berjangkit PKD Kinta telah menjalankan verifikasi dan siasatan lapangan sekitar jam 10.30 pagi dan mendapati seramai 96 orang kes lagi telah dikesan sehingga jam 5 petang, menjadikan jumlah keseluruhan kes seramai 101 orang, masing-masing 50 perempuan dan 51.

“Kadar serangan adalah sebanyak 9.58 peratus di mana  daripada 101 kes bergejala muntah (100%), 84 kes bergejala cirit (83.2%), 68 kes bergejala sakit perut (67.3%) dan 24 kes bergejala demam (23.8%).

Menurutnya, seorang murid telah dimasukkan ke wad kanak-kanak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk rawatan.

Di samping itu, ujarnya, seramai 62 murid lagi telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di klinik kesihatan dan klinik swasta yang berhampiran dengan kawasan rumah masing-masing manakala bakinya lain didapati hanya mengalami simptom-simptom yang ringan dan telah berehat di rumah masing-masing.

Beliau memberitahu, kesemu mereka kini berada dalam keadaan stabil.