Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong berkata, jumlah itu meningkat berbanding 19 episod yang dicatatkan sepanjang tahun lepas.
Beliau berkata, antara punca keracunan makanan disebabkan penyimpanan bahan mentah yang tidak selamat, tempoh penyimpanan tidak sepatutnya serta proses pengendalian makanan tidak bersih.
"Punca lain ialah makanan tidak ditutup sempurna dan masakan tidak dimasak sepenuhnya.
"Bagaimanapun, kes keracunan di Terengganu masih terkawal. JKNT akan meningkatkan pemantauan seperti di sekolah berasrama bagi memastikan peraturan dipatuhi," katanya selepas merasmikan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2024 Peringkat Negeri Terengganu, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan pengusaha makanan mendapatkan skim pensijilan bagi meningkatkan kualiti keselamatan makanan dan perkhidmatan mereka.
Beliau berkata, skim pensijilan itu akan mengukuhkan lagi keyakinan masyarakat terhadap keselamatan makanan sekali gus merancakkan aktiviti perniagaan masing-masing.
"Antara skim pensijilan yang ditawarkan termasuk Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP)," katanya. - BERNAMA