KUALA LUMPUR: Selepas kes keracunan makanan yang didakwa berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping bulan lepas, sebuah lagi MRSM dilaporkan berhadapan dengan kejadian yang sama, melibatkan 48 pelajar.


Ringkasan AI
  • Selepas kes di MRSM Taiping, 48 pelajar di MRSM Terendak, Melaka, mengalami keracunan makanan. Enam pelajar dirawat di wad kecemasan Hospital Angkatan Tentera, Terendak.
  • Datuk Asyraf Wajdi Dusuki melawat lokasi kejadian dan mengucapkan terima kasih kepada pihak kesihatan. Kementerian Kesihatan sedang menyiasat dan mungkin akan menutup dewan selera tersebut.
  • Asyraf meluluskan kerja-kerja penyelenggaraan untuk tandas dan bilik guru di MRSM Terendak, memberi tempoh sebulan kepada pihak pengurusan untuk menyelesaikan isu-isu tersebut.


Pengerusi MARA Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dalam perkongsian di akaun media sosialnya berkata, kali ini kejadian berlaku di MRSM Terendak, Melaka.

Beliau berkata, susulan menerima banyak mesej daripada ibu bapa, beliau mengambil keputusan untuk terus ke lokasi bagi meninjau keadaan pelajar yang terkesan, serta melihat sendiri keadaan di Dewan Selera MRSM tersebut.

“Pagi tadi saya menerima banyak mesej daripada ibu bapa mengenai kes keracunan makanan yang berlaku di MRSM Terendak bermula semalam.

"Seramai 48 pelajar mengalami keracunan makanan sehinggakan seramai enam orang pelajar terpaksa masuk ke wad kecemasan di Hospital Angkatan Tentera, Terendak. 

“Terima kasih pihak Jabatan Kesihatan dan Hospital Tentera Kem Terendak yang telah membuat tindakan pantas bagi merawat pelajar MRSM.

"Kementerian Kesihatan juga sedang melakukan siasatan lanjut bagi isu ini serta akan mengambil tindakan, termasuk notis penutupan dewan selera ini,” menurut catatannya lagi.


Sebelum ini, Asyraf dilaporkan telah mengambil tindakan memberhentikan perkhidmatan kontraktor yang mengelola Dewan Selera MRSM Taiping kerana gagal memastikan kebersihan premis, serta tidak mematuhi menu yang ditetapkan.

Selain itu beliau juga telah turun ke MRSM Mersing bagi melihat cara penyediaan makanan yang dilakukan oleh pengusaha dewan makan tersebut.

Dalam pada itu, Asyraf berkata, beliau mengambil peluang melihat fasiliti-fasiliti di MRSM Terendak, dan menzahirkan rasa sedih dengan keadaan bilik guru dan tandas di bangunan akademik, tandas di asrama putera dan puteri yang banyak tidak berfungsi dan rosak.

Katanya lagi, beliau telah meluluskan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih empat fasiliti asas iaitu tandas-tandas di Bangunan Akademik dan bilik guru di Jabatan Sains, tandas-tandas di Asrama Putera dan Puteri, serta pintu-pintu kelas akademik yang rosak teruk.

“Saya telah berikan tempoh masa selama sebulan kepada pihak Pengetua dan pengurusan MRSM untuk menyelesaikan isu-isu penyelenggaraan fasiliti ini.

“Kebajikan para guru dan pelajar adalah menjadi keutamaan kami di MARA dan suasana yang kondusif amat penting untuk keselesaan semua bagi menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran,” tegasnya lagi.