AYER KEROH: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak, Melaka disifatkan sebagai daif dan uzur apabila kebanyakan fasiliti termasuk tandas dan bilik guru tidak boleh digunakan langsung.


Ringkasan AI
  • MRSM Terendak, Melaka disifatkan sebagai daif dan uzur dengan banyak fasiliti, termasuk tandas dan bilik guru, tidak boleh digunakan.
  • Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, meluluskan peruntukan segera RM400,000 untuk penyelenggaraan selepas lawatan mengejut mendapati keadaan yang teruk, termasuk najis tikus di dapur.
  • Seramai 48 pelajar Tingkatan 1 dan 2 mengalami keracunan makanan, dan siasatan sedang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan untuk menentukan punca sebenar.


Mendedahkan perkara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kedaifan itu dikesan ketika lawatan mengejutnya hari ini selepas 48 pelajar mengalami keracunan makanan.

Malah, jelasnya, sepanjang lawatannya ke 39 MRSM lain di seluruh negara, MRSM Terendak yang mempunyai 663 pelajar itu adalah yang paling teruk sehingga terdapat najis tikus di dapur masak Dewan Selera sekolah berkenaan.

“Saya boleh katakan sepanjang lawatan saya, ini adalah MRSM paling teruk dan saya telah arahkan pengetua buat senarai (kerosakan) yang mana saya beri tempoh sebulan dan paling penting sekali tandas.

“Saya tidak mahu tuding jari kerana saya lihat sendiri apa yang berlaku, dan saya punya penilaian sendiri MRSM ini dalam keadaan yang amat daif dan uzur dan dalam konteks ini saya akan ambil tanggungjawab penuh,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KKDW yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada Jumaat.

Mengulas lanjut, ujarnya, beliau telah meluluskan peruntukan segera berjumlah RM400,000 kepada MRSM berkenaan bagi tujuan penyelenggaraan kemudahan sekolah.

“MARA memberikan keutamaan untuk menaik taraf kemudahan asas seperti tandas termasuk ada bilik guru yang tidak boleh digunakan langsung.

"Kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku di MRSM berusia 41 tahun, yang mempunyai 663 pelajar, dan saya mengambil serius perkara ini," tambahnya.

Dalam pada itu, jelasnya, seramai 48 pelajar Tingkatan 1 dan 2 MRSM itu mengalami keracunan makanan sejak malam tadi.

“Saya difahamkan pihak Pejabat Kesihatan sedang melakukan siasatan apakah punca sebenar, sama ada berpunca dari Dewan Selera atau makanan berbungkus dari koperasi,” tambahnya.