KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan mana-mana pihak yang berhutang wajib membayar pinjaman tersebut.


Ringkasan AI
  • Kewajipan Membayar Hutang: Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa semua pihak yang berhutang dengan MARA wajib membayar pinjaman mereka dan MARA tidak memilih bulu dalam mengambil tindakan.
  • Prosedur Ketat: MARA terikat dengan prosedur undang-undang yang ketat dan memberi peluang kepada peminjam untuk berunding mengenai penjadualan dan penstrukturan hutang sebelum mengambil tindakan perundangan.
  • Tindakan Terhadap Che Ta: Tindakan menyerbu rumah aktres Rozita Che Wan dilakukan untuk menilai barangan bagi tujuan penyitaan selepas beliau gagal menjelaskan pinjaman hampir RM1 juta.


Beliau dalam kenyataan di laman sosial berkata, MARA tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan terhadap peminjam yang culas atau memilih bulu dalam tindakan.

Kenyataan tersebut menyusul selepas laporan mendakwa MARA menyerbu kediaman aktres Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta di Kota Damansara, pagi ini.

“Usah merayu kepada saya kerana bukan hak saya untuk melupuskan hutang.

“Saya menjaga amanah wang rakyat di bawah MARA, bakal dipersoalkan Allah kelak,” tulis Asyraf dalam entri tersebut, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata MARA terikat dengan prosedur dan proses yang ketat menurut lunas undang-undang.

Malah ujar beliau, sebelum sebarang tindakan perundangan dilakukan  nilai ‘ihsan’ juga diutamakan dengan memberi ruang kepada peminjam yang bermasalah untuk datang berunding mengenai penjadualan dan penstrukturan hutang mereka.

Bagaimanapun jelas Asyraf, jika semua usaha tersebut masih culas, dan sengaja tidak mahu membayar walaupun berkemampuan, MARA tidak teragak-agak mengambil tindakan.

“Bahkan boleh pula memperagakan kemewahan di media sosial, MARA tidak akan teragak-agak mengambil tindakan perundangan.

“Bermakna tindakan perundangan adalah jalan terakhir untuk memastikan setiap sen wang rakyat dapat dikutip semula untuk manfaat orang lain pula,” katanya lagi.

Menurut sumber, tindakan menyerbu rumah Che Ta dilakukan bagi membolehkan pihak MARA menilai barangan dalam rumah terbabit bagi tujuan penyitaan selepas selebriti 51 tahun itu gagal menjelaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.