MARA dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan organisasi itu telah memfailkan writ saman pada 7 Jun 2022 terhadap syarikat terbabit antaranya menuntut EUR478,349.14, ganti rugi teladan, kos dan faedah.
"Penghakiman ingkar susulan kegagalan memfailkan pembelaan diperoleh terhadap syarikat (defendan pertama) dan seorang daripada pengarah syarikat itu (defendan kedua) pada 19 Sept 2022. Perbicaraan penuh terhadap seorang lagi pengarah (defendan ketiga) telah selesai pada 15 Julai 2024 dan tarikh keputusan ditetapkan pada 9 Jan 2025.
"Pelaksanaan penghakiman melalui writ penyitaan dan penjualan (WSS) telah diambil terhadap syarikat terbabit pada 22 Jan 2024, tetapi aset syarikat itu telah dilupuskan. Notis Kebankrapan telah difailkan terhadap defendan kedua," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut laporan polis mengenai kes itu juga telah dibuat di Balai Polis Dang Wangi pada 28 Jan 2022 selain memaklumkan pegawai MARA tidak berhadapan sebarang laporan salah laku yang difailkan oleh mana-mana pihak.
Menurut MARA, susulan laporan polis itu, MARA telah dipanggil bagi membantu siasatan dan telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
BACA: Polis akan panggil pemilik syarikat didakwa seleweng dana latihan penerbangan
BACA: Kes latihan penerbangan: Polis terima 11 laporan, siasatan terperinci sedang dijalankan
Dalam pada itu, MARA memaklumkan 39 pelajar program latihan penerbangan tajaannya berjaya menghabiskan pengajian masing-masing.
Bernama sebelum ini melaporkan 50 bakal juruterbang mendakwa kerugian apabila sebuah syarikat bumiputera menyalah urus dana pelatih penerbangan selepas mereka mendaftar dengan syarikat itu antara 2019 hingga 2022.
Syarikat itu dikatakan bekerjasama dengan MARA untuk menghantar pelajar menjalani latihan di Republik Czech, namun ramai pelajar termasuk bukan tajaan MARA mendakwa gagal menamatkan latihan apabila syarikat itu tidak membayar kepada akademi latihan penerbangan di sana.
-- BERNAMA