KUALA LUMPUR: Kes saman difailkan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad terhadap Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung hantaran dalam aplikasi X yang didakwa memfitnah Menteri Kesihatan itu selesai secara baik di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Peguam Datuk SN Nair yang mewakili Dzulkefly berkata kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah namun butiran penyelesaian tidak dapat didedahkan.

"Sehubungan itu, plaintif (Dzulkefly) menarik balik kes saman itu dan penyelesaian telah direkodkan di hadapan Hakim Norakhmar Mohd Sani. Tarikh perbicaraan kes saman terbabit yang sepatutnya bermula hari ini hingga Jumaat dilapangkan," kata Nair ketika ditemui pemberita selepas prosiding di dalam kamar di hadapan Norakhmar.

Sementara itu, peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman mewakili Asyraf Wajdi yang merupakan Setiausaha Agung UMNO mengesahkan perkara berkenaan.

"Hakim berterima kasih kepada kedua-dua pihak kerana dapat menyelesaikan kes ini secara terbaik tanpa perbicaraan," kata peguam itu.

Pada 12 April 2022, Dzulkefly selaku plaintif menyaman Asyraf Wajdi atas dakwaan memuat naik satu hantaran memfitnah menerusi aplikasi X pada 24 Ogos 2020 yang turut diterbitkan dalam Facebook defendan dan menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa hantaran itu antara lain membawa maksud plaintif mengamalkan kronisme dan nepotisme khususnya dalam proses lantikan seorang anak perempuannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), selain menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya selaku Menteri Kesihatan untuk kepentingan peribadi dan keluarganya.

Dzulkefly menegaskan kata-kata fitnah itu tidak berasas dan tidak benar kerana semasa pelantikan anak perempuannya, AIM ditadbir urus oleh Lembaga Pemegang Amanah yang merupakan ahli-ahli daripada wakil kerajaan ketika itu ialah kerajaan Barisan Nasional dan plaintif bukan seorang menteri dan parti politik Pakatan Harapan juga bukan kerajaan pada masa itu.

Beliau berkata pelantikan terbabit berdasarkan penilaian objektif terhadap merit dan kelayakan anak perempuannya selain Kementerian Kesihatan juga mengeluarkan kenyataan media yang jelas menyatakan kementerian itu tidak terlibat dengan pelantikan anak perempuan beliau.

Sementara itu, Asyraf Wajdi menerusi pernyataan pembelaannya berkata hantaran itu dibuat tanpa sebarang niat jahat untuk merosakkan reputasi dan nama baik plaintif.

-- BERNAMA