Ringkasan AI
- Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan virus 'human metapneumovirus' (hMPV) bukan penyakit baharu, walaupun berlaku lonjakan penularan di China; KKM mengesan 327 sampel positif hMPV sepanjang 2024 berbanding 225 pada 2023.
- Jangkitan hMPV tidak wajib dilaporkan di Malaysia di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342]; KKM akan terus memantau perkembangan jangkitan saluran pernafasan.
- Situasi COVID-19 di Malaysia masih terkawal dengan tiada peningkatan kes memerlukan rawatan di ICU dan tiada kematian berkaitan pandemik dilaporkan sejak April 2024; kes positif menurun 50.4% pada 2024 berbanding 2023.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM mengesan 327 sampel positif hMPV sepanjang 2024 berbanding 225 pada 2023.
Jelas beliau, virus tersebut merupakan salah satu jangkitan saluran pernafasan disebabkan virus dalam keluarga Pneumoviridae.
"Di Malaysia, jangkitan hMPV juga tidak wajib dilaporkan atau dinotifikasikan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342]," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Media sebelum ini melaporkan, penyakit pernafasan semakin meningkat pada tahap membimbangkan di China susulan penularan virus hMPV.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China (CCDCP) mengesahkan bahawa wilayah utara China paling teruk terjejas.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata KKM akan sentiasa memantau perkembangan jangkitan saluran pernafasan di dalam dan luar negara, meningkatkan kesiapsiagaan serta mengambil tindakan sewajarnya.
Katanya lagi, peningkatan jangkitan saluran pernafasan akut pada hujung dan awal tahun adalah fenomena yang dijangka sepenuhnya, selaras peningkatan jangkitan saluran pernafasan yang turut dilaporkan di negara-negara lain terutamanya yang bermusim sejuk seperti China.
Bagi jangkitan influenza, KKM berkata virus influenza A dilaporkan menurun 61 peratus pada 2024 berbanding 66 peratus pada 2023, manakala influenza B meningkat 39 peratus berbanding 34 peratus pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, Dr Dzulkefly menjelaskan situasi COVID-19 di Malaysia masih terkawal, dengan tiada peningkatan kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU).
Dalam masa sama, ujar beliau tiada kematian yang berkaitan dengan pandemik itu dilaporkan sejak April 2024.
"Kes positif yang dilaporkan menurun 50.4 peratus kepada 100,666 kes pada 2024 berbanding 202,962 kes pada 2023.
"Kematian pada 2024 ialah 57 kes, manakala pada 2023 (441 kes)," ujar beliau lagi.
Sehingga kini, varian SARS-CoV-2 yang sedang menular di Malaysia masih varian Omicron dan subvariannya, dengan tiada kes baharu varian Omicron dilaporkan dari 24 November 2024 hingga hujung tahun.