TOKYO: Seekor tuna sirip biru berjaya dijual pada harga 207 juta yen (US$1.3 juta) dalam lelongan pertama tahun baharu di sebuah pasar ikan terkenal di Tokyo pada Ahad, mencatatkan harga kedua tertinggi dalam rekod dan menyemarakkan harapan pemulihan ekonomi berterusan di Jepun, lapor Agensi Berita Kyodo.

Dengan pelbagai tuna dilelong, acara penuh meriah itu bermula pada pukul 5.10 pagi di Pasar Toyosu, yang kini menjadi satu daripada tarikan utama pelancong di ibu negara Jepun.

Tuna seberat 276 kilogram yang ditangkap di Perairan Oma, Wilayah Aomori di timur laut Jepun, telah dibeli bersama oleh seorang perantara pemborong dan sebuah syarikat yang mengendalikan rangkaian restoran Sushi Ginza Onodera.

"Tuna pertama tahun ini membawa tuah. Kami ingin membuat orang tersenyum dengan makanan," kata Shinji Nagao, presiden pengendali restoran sushi itu.

Pada 2019, seekor tuna sirip biru dijual pada harga 333.6 juta yen, harga tertinggi sejak data perbandingan tersedia pada 1999, dalam lelongan Tahun Baharu pertama selepas pasar ikonik Tsukiji dipindahkan ke Toyosu.

Bagaimanapun, dengan kemunculan pandemik COVID-19, harga pada 2021 menjunam kepada 20.8 juta yen.

Harga kemudiannya meningkat kepada 36 juta yen pada 2023 dan 114.2 juta yen pada 2024.

"Ia gemuk seperti lembu," kata Masahiro Takeuchi, seorang nelayan berusia 73 tahun, mengenang detik dia melihat tuna gergasi itu ditangkap menggunakan tali kail panjang pada pagi Sabtu.

"Ia seumpama mimpi. Saya sentiasa risau berapa lama lagi saya boleh melakukan pekerjaan ini, tetapi saya sangat gembira," katanya kepada pemberita di Oma.

-- BERNAMA