KUALA LUMPUR: Ketika Malaysia dan Cuba bersiap sedia meraikan 50 tahun hubungan diplomatik pada 6 Feb, Duta Cuba ke Malaysia Florentino Batista Gonzalez menyifatkan ulang tahun itu sebagai pencapaian bersejarah untuk memperkukuh perkongsian dalam bidang utama seperti bioteknologi dan penjagaan kesihatan.

Semasa melakukan kunjungan hormat ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada Isnin, Gonzalez mengimbau sejarah bersama Malaysia dan Cuba sebagai negara membangun yang berjaya mengatasi era penjajahan untuk menempa laluan kemajuan dan pembangunan yang bebas

"Ulang tahun ini menandakan titik perubahan dalam sejarah. Malaysia dan Cuba berkongsi latar belakang yang sama sebagai negara membangun yang bangkit daripada penjajahan untuk membina negara mereka demi kesejahteraan rakyatnya," katanya.

Kunjungan duta itu ke Wisma Bernama turut merangkumi pertemuan dengan barisan kepimpinan tertinggi Bernama, termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.

Pertemuan selama setengah jam itu menjadi platform untuk membincangkan usaha meningkatkan kerjasama antara Bernama dan rangkaian media Cuba dalam usaha memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.

Gonzalez berkata kedua-dua negara telah menunjukkan daya tahan dalam mengharungi cabaran bersama dan unik selama beberapa dekad, dengan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap kedaulatan dan pembangunan yang menjadi asas kepada hubungan dua hala yang kukuh meskipun terdapat perbezaan budaya dan geografi.

Beliau turut menekankan kerjasama antara Malaysia dan Cuba di platform antarabangsa, khususnya sokongan bersama terhadap Palestin serta peranan mereka dalam Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), sambil menyatakan bahawa Malaysia mengambil alih jawatan presiden NAM dari Cuba dengan memperkenalkan beberapa inisiatif untuk mempromosikan kerjasama Selatan-Selatan.

Duta itu juga memuji NAM News Network (NNN) yang kini diuruskan oleh Bernama dan menyifatkannya sebagai sumber maklumat penting bagi negara-negara Amerika Latin dan negara lain di Selatan Global.

"Adalah mengecewakan apabila maklumat tentang negara-negara di Selatan kandungannya selalunya bukan dari negara itu sendiri, tetapi daripada sumber luar dengan perspektif yang berbeza," katanya sambil menegaskan pentingnya berkongsi kandungan tulen untuk memupuk persefahaman dan persahabatan antara negara.

Beliau menekankan prinsip Cuba untuk bergantung kepada sumber tempatan bagi memahami sesebuah negara secara mendalam dan berharap lebih ramai pihak akan merujuk kepada agensi berita rasmi seperti Bernama untuk mendapatkan maklumat yang tepat.

Walaupun hubungan politik dan sejarah yang kukuh, Gonzalez mengakui bahawa kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Cuba masih belum menggambarkan kedalaman hubungan itu.

Beliau optimis bahawa ulang tahun ke-50 itu akan menjadi pemangkin kepada peningkatan perdagangan dan pelaburan, terutamanya dalam bidang seperti bioteknologi dan penjagaan kesihatan.

"Kita perlu melakukan kerja persediaan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang seperti sukan, budaya dan farmaseutikal," katanya sambil menekankan kepakaran Cuba dalam bidang bioteknologi dan penjagaan kesihatan, yang juga merupakan bidang di mana Malaysia telah mencapai kemajuan ketara dalam tempoh dua dekad lepas.

Beliau memuji kemajuan Malaysia dalam penghasilan vaksin, khususnya selepas pandemik COVID-19, dan menegaskan bahawa keupayaan menghasilkan ubat-ubatan serta vaksin adalah penting untuk pembangunan negara.

"Cuba dan Malaysia boleh saling melengkapi dalam bidang ini (penghasilan vaksin) untuk mewujudkan perkongsian yang berjaya," tambahnya.

-- BERNAMA