KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat pada malam ini menegaskan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota tidak harus menjadikan UMNO angkuh dan bongkak.

Sebaliknya, parti Melayu itu perlu memastikan mandat yang diberikan rakyat dilaksanakan sebaik mungkin dengan penuh tawaduk dan beramanah.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan memaklumkan, MKT juga berpandangan kemenangan di DUN Mahkota memberikan isyarat jelas bahawa rakyat menerima baik model kerjasama Kerajaan Perpaduan.

"(Model tersebut) Berteraskan prinsip kesederhanaan, toleransi, serta tidak ekstrem dalam memainkan sentimen agama mahupun bangsa yang boleh memudaratkan keharmonian rakyat berbilang kaum.

"Mesyuarat bersetuju untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dan gerak kerja bersama dalam kalangan parti-parti komponen  Kerajaan Perpaduan sebagai satu manifestasi keseriusan dan komitmen UMNO bagi memastikan kelangsungan kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara," katanya dalam kenyataan itu pada Isnin.

Jelas beliau, UMNO merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera parti Kerajaan Perpaduan termasuk rakan-rakan parti komponen BN, Friends of BN dan Pakatan Harapan (PH) yang bekerja kuat sebagai satu pasukan hingga berjaya meyakinkan pengundi di DUN Mankota.

Selain itu, UMNO ujarnya mengucapkan penghargaan kepada pengundi DUN Mahkota atas kepercayaan yang diberikan kepada BN untuk memenangi kerusi tersebut dengan majoriti yang amat besar pada 28 September lalu.

Dalam perkembangan sama, Asyraf Wajdi berkata mesyuarat meminta semua ahli UMNO di semua peringkat untuk berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi membantu rakyat tanpa mengira ideologi parti, mahupun kaum dalam menghadapi sebarang musibah bencana alam termasuk musim tengkujuh.