KUALA LUMPUR: Semua sisa kumbahan dari Jalan Masjid India akan berakhir di loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam, di sini.


Ringkasan AI
  • Semua sisa kumbahan dari Jalan Masjid India akan berakhir di loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam.
  • Loji ini menguruskan 0.4 juta sisa kumbahan di Pantai 1 dan 1.4 juta di Pantai 2.
  • Operasi mencari mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India akan diteruskan dengan menggunakan alat ground-penetrating radar (GPR).


Ini sekali gus memberi harapan dalam usaha menemukan mangsa insiden tanah jerlus yang hilang sejak minggu lalu.

Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Pantai Dalam, Fahmi Fadzil berkata, sebanyak 0.4 juta sisa kumbahan warga Kuala Lumpur diuruskan fasiliti di Pantai 1, manakala 1.4 juta lagi di fasiliti Pantai 2.

“Aliran (kumbahan dari Masjid India) mengalir terus ke sini dan tiada apa yang akan melampaui lokasi ini (kolam Pantai Dalam).

"Terdapat juga skrin fizikal dan bahan diasingkan untuk diproses di fasiliti ini,” katanya selepas menerima taklimat daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta IWK.

Jarak lurang kumbahan di Jalan Masjid India hingga ke loji IWK Pantai Dalam sejauh kira-kira tujuh kilometer.

Fahmi turut memaklumkan, operasi mencari mangsa akan diteruskan sehingga ada arahan selanjutnya.

Dalam kejadian pada Jumaat, seorang wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjerlus ke dalam lubang sedalam kira-kira lapan meter di Jalan Masjid India, di ibu kota.

Difahamkan, alat ground-penetrating radar (GPR) akan digunakan dalam usaha mencari mangsa hari ini.