Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 7.18 malam.
Menurutnya, insiden melibatkan mendapan tanah yang berlaku di hadapan empat buah rumah di Lorong Teja Utama, taman tersebut.
“Rumah nombor 11 dan 15 berlaku mendapan pada bahagian garaj manakala nombor 9 dan 17 sedikit terjejas pada bahagian tepi dan depan rumah akibat hujan lebat.
“Bagaimanapun, ia tidak melibatkan struktur dan kemalangan mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, ketua operasi melaksanakan size-up, seterusnya mengaplikasikan konsep asas ‘FASTVOIDS’ dengan mengarahkan anggota membuat pemantauan pada struktur rumah dan menasihati penghuni terlibat untuk keluar ke tempat selamat.
Menurutnya, ketika kejadian, rumah nombor 11 didiami pasangan suami isteri dan rumah nombor 9 didiami seorang wanita dewasa, manakala rumah nombor 15 dan 17 tidak berpenghuni.
“Setelah memastikan semua mangsa keluar dan berada di tempat yang selamat, operasi telah diserahkan pada pihak yang berwajib untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Sabarodzi berkata, pasangan suami isteri yang terlibat telah berpindah ke rumah ibu mereka manakala wanita dewasa masih tinggal di rumahnya, namun pihak polis menasihatnya supaya menggunakan pintu belakang sahaja.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I (KUP) Mohd Khamis Harun tamat jam 9.19 malam.