KUALA LUMPUR: Polis memberi amaran agar orang awam tidak menghampiri, melihat bahkan membuat ‘content’ media sosial di kawasan tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Amaran itu disuarakan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa yang memaklumkan terdapat anggota polis ditempatkan di situ bagi mengawal keadaan di sana.

Menurutnya, ia bukan sahaja bagi memastikan kerja-kerja agensi lain tidak terganggu malah ia juga bagi mengelak orang awam menghampiri kawasan berkenaan.

“Kita tidak mahu orang ramai pergi meninjau dan buat ‘content’ TikTok di kawasan tanah jerlus terbabit, kalau boleh jauhi terus tempat itu.

“Kita ingatkan orang ramai bahawa tempat ini masih dalam kawalan pihak polis dan jangan bahayakan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di Kuala Lumpur pada Khamis.

Dalam insiden pada 23 Ogos lepas, seorang wanita warganegara India, G Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh akibat kejadian tanah jerlus ketika berjalan kaki di lokasi terbabit.

Susulan tragedi itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita terbabit bermula sejak 23 Ogos 2024.

Namun, ia ditamatkan sembilan hari kemudian selepas kerajaan mengkaji semula laporan daripada semua agensi berkaitan operasi berkenaan.

Dalam pada itu, mengulas kes isu tanah runtuh di Wangsa Maju, Rusdi berkata, kerja menguji tanah sedang dibuat sebelum proses memasang cerucuk dilakukan di sepanjang tebing terjejas.

“Sebelum ini pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah keluarkan notis kepada 14 rumah terlibat dikosongkan, manakala tiga rumah boleh diduduki,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seramai 52 penghuni di 17 unit kediaman rumah teres yang terletak di Taman Bunga Raya, Jalan Genting Klang-Kem Wardieburn telah diarahkan berpindah susulan tanah runtuh yang berlaku pada 22 Ogos lalu.