Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata pembukaan itu berikutan kerja pemulihan dan pembaikan berjaya disiapkan lebih awal berbanding jadual asal iaitu pada Februari 2025.
"Sepanjang tempoh fasa pemulihan dan pembaikan, pemeriksaan terperinci telah dilaksanakan melibatkan kerja-kerja penyiasatan tanah secara penggerekan dalam (deep boring) bagi mendapatkan profil tanah di sekitar Jalan Masjid India.
"Sebanyak empat ujian penggerekan dalam telah dijalankan bagi menentu ukur lapisan tanah dan hasil dapatan telah dimasukkan di dalam laporan akhir insiden Jalan Masjid India," katanya dalam sidang media di sini.
Beliau berkata kerja pembaikan itu termasuklah baik pulih saluran kumbahan yang rosak, kemasan siar kaki di 'ground zero' atau kawasan insiden tersebut serta pembaikan dan naik taraf longkang di kawasan sekitar Wisma Melayu dan Jalan Masjid India.
Maimunah berkata syarikat utiliti termasuk syarikat telekomunikasi juga telah membaik pulih aset di tapak insiden selain Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan pemantauan visual di sekitar kawasan itu secara berkala.
"Pemeriksaan seumpama ini akan terus dijalankan oleh DBKL bersama pihak syarikat utiliti dari semasa ke semasa bukan hanya di Jalan Masjid India malah meliputi seluruh bandar Kuala Lumpur bagi menjamin keselamatan warga Kuala Lumpur.
"Peruntukan sebanyak RM10 juta yang diberikan oleh kerajaan Pusat kepada DBKL untuk tahun 2025 akan digunakan untuk melaksanakan kajian geoteknikal dan pengesanan utiliti di kawasan pusat perniagaan bandar bagi mencegah kejadian yang sama berulang," katanya.
Mengenai laporan akhir insiden tanah jerlus, Maimunah berkata DBKL sedang membuat penelitian terhadap keseluruhan isi kandungan laporan dan ia akan dikemukakan ke Kabinet awal tahun depan sebelum disiarkan kepada umum.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pemulihan tersebut selain menyeru orang ramai untuk melaporkan maklumat berkaitan mendapan di rizab jalan awam atau tanah jerlus di menerusi portal Adu@kl atau menghubungi talian skuad penyelamat 03-40106337.
Pada 23 Ogos lepas, seorang wanita warga India G. Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.
-- BERNAMA