KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pelancong India yang terjunam ke dalam lubang benam di Jalan Masjid India masuk hari kelima.

Difahamkan, alat 'ground penetrating radar' (GPR) akan digunakan dalam usaha mencari mangsa hari ini.

Walau bagaimanapun, media belum dapat membuat sebarang pengesahan tentang pihak yang akan mengendalikannya.

“Kita ada pasukan dari Jabatan Nuklear…mungkin hari ini akan guna GPR,” kata seorang sumber.

GPR merupakan kaedah pengesanan geofizik yang menggunakan gelombang radio untuk menangkap imej di bawah permukaan tanah.

Sebelum ini terdapat laporan sebuah syarikat pengurusan sisa Singapura menawarkan secara sukarela bantuan dalam usaha mencari dan menyelamat tetapi belum ada sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara itu.

Setakat malam tadi, pasukan operasi mencari dan menyelamat menggunakan teknik 'jetting' atau semburan bertekanan air tinggi di lurang kumbahan berhampiran bangunan Wisma Yakin.

Ia dijalankan pada awal pagi Selasa dan media masih menantikan jika ia memberi sebarang petunjuk baharu dalam usaha pencarian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman pada Isnin berkata operasi mencari akan diteruskan sehingga mangsa ditemui.