Lawatan ini merupakan Lawatan Negara pertama Sultan Ibrahim ke China sejak menaiki takhta pada 31 Januari lalu.
Menurut Wisma Putra, keberangkatan Yang di-Pertuan Agong akan diiringi oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zain serta pegawai-pegawai kanan dari Istana Negara dan kementerian serta agensi yang berkaitan.
Kata Wisma Putra, semasa Lawatan Negara ini, Sultan Ibrahim akan menerima sambutan negara di Great Hall of the People di Beijing, diikuti dengan pertemuan bersama Presiden Xi Jinping serta menghadiri Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan oleh Presiden Republik Rakyat China.
Wisma Putra berkata, Sultan Ibrahim turut perkenan menerima menghadap Perdana Menter China, Li Qiang selain dijadualkan menghadiri upacara penamaan Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University sebagai satu penghormatan kepada Yang di-Pertuan Agong dan sesi ramah mesra bersama diaspora Malaysia semasa lawatan ini.
“Lawatan Negara ini mencerminkan keutuhan hubungan dua hala di antara Malaysia dan China yang telah kian berkembang sejak dinaik taraf kepada Kerjasama Strategik Komprehensif pada tahun 2013.
“Lawatan Negara ini juga memberi peluang yang amat baik bagi kedua-dua pihak untuk menegaskan komitmen bersama dalam memastikan hubungan di antara Malaysia dan China terus kekal dengan pendekatan memandang ke hadapan, dinamik, dan makmur demi manfaat rakyat kedua-dua buah negara berdasarkan kepada saling mempercayai dan hormat menghormati,” kata Wisma Putra dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam masa sama, Wisma Putra memaklumkan, lawatan ini juga bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
“Selain daripada pertukaran lawatan peringkat tinggi, pelbagai program rasmi turut dijalankan termasuk pengeluaran setem dan duit syiling peringatan serta penerbitan coffee table book pada 19 Jun 2024 di Kuala Lumpur semasa lawatan Perdana Menteri Li Qiang ke Malaysia.
“Majlis makan malam bagi meraikan ulang tahun ke-50 turut diadakan pada 31 Mei 2024 di Beijing dan 19 Jun 2024 di Kuala Lumpur,” jelas Wisma Putra lagi.
Pada tahun 2023, China kekal sebagai rakan perdagangan Malaysia terbesar bagi 15 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 billion (AS$98.90) yang menyumbang kepada 17.1 peratus perdagangan global Malaysia.
Perdagangan terus meningkat pada pertengahan tahun pertama 2024 yang mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak RM234.09 bilion (AS$49.53 bilion) berbanding dengan RM214.87 billion (AS$48.21 billion) pada pertengahan tahun pertama 2023.
Pada suku tahun pertama 2024, sejumlah 24 projek telah diluluskan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM3.4 bilion (AS$717.7 juta).