Muhammad Shafee memaklumkan, surat tersebut ditandatangani oleh Pengelola Bijaya Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Abdul Rahman yang mewakili Al-Sultan Abdullah dan dihantar kepada anak Najib, Datuk Mohd Nizar.
Menurutnya, Mohd Nizar telah dihubungi Istana Pahang pada 2 Dis tahun lalu, memaklumkan mengenai kewujudan perintah tambahan diraja bagi membenarkan Najib menjalani baki tahanan rumah.
Katanya, pada 4 Jan beliau diperintah menghadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memaklumkan kewujudan salinan titah adendum dalam simpanan Baginda.
"Keesokkannya (5 Januari) Mohd Nizar telah menerima salinan dokumen itu, yang merupakan rekod peribadi Sultan Pahang, yang menjelaskan mengapa ia tidak mempunyai tandatangan Sultan," katanya ketika berhujah di Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini.
Muhammad Shafee kemudian memberitahu mahkamah bahawa pasukannya telah memfailkan permohonan untuk meminda notis usul berkaitan rayuan Najib itu.
Panel tiga anggota diketuai Hakim Datuk Azizah Nawawi kemudian mengarahkan permohonan pindaan itu didengar sekarang bersama rayuan utama.
Permohonan pindaan itu bertujuan untuk meminda afidavit oleh Mohd Nizar, bagi menyokong permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi melaksanakan titah adendum diraja.
Mewakili pihak kerajaan ialah Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly.
Turut hadir pada prosiding tersebut ialah peguam Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, mewakili ahli-ahli parlimen Malaysia.