KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melakukan audit operasi terhadap bas-bas ekspres di depot dan terminal bas di seluruh negara dalam kempen Pandu Cermat Selamat Sampai bersempena dengan Tahun Baharu Cina yang akan disambut minggu hadapan.


Ringkasan AI
  • JPJ akan melakukan audit operasi terhadap bas-bas ekspres di depot dan terminal bas di seluruh negara untuk memastikan kenderaan pengangkutan awam berada dalam keadaan baik dan selamat.
  • Larangan pemanduan kenderaan barangan akan dikenakan pada 27 dan 28 Januari serta 1 dan 2 Februari untuk mengelakkan kesesakan jalan raya.
  • Sebanyak 2,500 anggota dan pegawai JPJ akan bertugas untuk memastikan kelancaran aliran trafik dan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya, serta menasihati pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan dan menjadi pemandu yang bertanggungjawab.


Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, audit berkenaan bertujuan memastikan kenderaan pengangkutan awam berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan semasa Tahun Baharu Cina.

"Audit berkenaan adalah antara lima fokus penguatkuasaan yang diberikan tumpuan pada kali ini, aspek lain ialah penguatkuasaan terhadap sembilan kesalahan utama, operasi khas kenderaan perkhidmatan barangan dan motosikal," katanya ketika menjadi tetamu program Temu Bual Radio dengan topik "Tahun Baharu Cina 2025: Pandu Cermat, Sampai Selamat" terbitan Bernama Radio hari ini.

Beliau berkata sebanyak 2,500 anggota dan pegawai JPJ akan bertugas pada Tahun Baharu Cina ini bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya.

Jazmanie berkata kempen yang bermula pada 20 Jan hingga 9 Feb ini turut akan mengenakan larangan pemanduan kenderaan barangan pada 27 dan 28 Jan serta 1 dan 2 Feb bagi mengelakkan kesesakan jalan raya susulan pertambahan jumlah pengguna jalan raya pada tempoh berkenaan.

"Tujuan larangan ini untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas apabila bercampur dengan trafik daripada kenderaan perdagangan dan kenderaan persendirian," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta menjadi pemandu yang bertanggungjawab pada musim perayaan dan cuti sekolah ini.

Katanya, peraturan dan undang-undang jalan raya yang sedia ada adalah mencukupi bagi memastikan keselamatan pengguna.

-- BERNAMA