Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya sedang menunggu arahan lanjut daripada pihak AGC untuk tindakan seterusnya.
"Setakat ini, kita telah menerima sebanyak 182 laporan polis berkaitan isu terbabit.
"Kertas siasatan dibuka di bawah Kanun Keseksaan dan kertas enkuiri polis (KEP)," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri perhimpunan bulanan Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini.
Pada Disember lalu, Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut memaklumkan akan membuat laporan polis berhubung penyebaran video dan mesej yang memberi gambaran kononnya beliau berhasrat memurtadkan umat Islam atau menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian.
Beliau dilaporkan berkata, penyebaran video dan mesej berniat jahat itu dikhuatiri boleh menjejaskan rayuannya berhubung kes saman fitnah terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Pada 23 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah Hannah terhadap Musa berhubung dakwaan kenyataan fitnah pada satu forum di sebuah universiti empat tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi memutuskan demikian selepas mendapati Hannah selaku plaintif gagal membuktikan Musa sebagai defendan mempunyai niat jahat dan kenyataan yang dikeluarkannya itu berunsur fitnah.
Kenyataan dipertikaikan itu didakwa menuduh Hannah menulis buku bertajuk 'Becoming Hannah: A Personal Journey' untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan Islam dan negara, serta meletakkan kepentingan peribadinya di atas kepentingan negara.
Susulan itu, beberapa pihak tampil membuat laporan polis bagi menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku Hannah yang disifatkan sebagai bahaya dan mengancam keselamatan negara.
-- Sinar Harian