Ringkasan AI
- Kehadiran Sultan Hassanal Bolkiah ke istiadat pertabalan bersejarah ini adalah atas jemputan Sultan Ibrahim, yang disampaikan secara peribadi pada 25 Jun di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan.
Sultan Hassanal Bolkiah tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada pukul 11.55 pagi, dengan menerbangkan sendiri pesawat Royal Brunei Boeing 787-8 (BBJ).
Baginda diiringi oleh Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Putera Brunei Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah, dan ahli keluarga diraja Brunei yang lain.
Paduka anakanda Sultan Ibrahim, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, suaminya Datuk Dennis Muhammad Abdullah, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman, dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar menyambut ketibaan rombongan diraja tersebut.
Turut hadir, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Baginda kemudian berjalan melepasi kawalan kehormatan statik terdiri daripada 28 pegawai dan anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Infantri Istiadat) yang diketuai oleh Kapten Nur Ahmad Zain Zahari.
Kehadiran baginda ke istiadat pertabalan bersejarah ini adalah atas jemputan Sultan Ibrahim, yang disampaikan secara peribadi kepada Sultan Hassanal Bolkiah pada 25 Jun di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan.
Jawapan rasmi daripada Sultan Hassanal Bolkiah untuk menghadiri istiadat pertabalan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Adat Istiadat Negara Brunei, Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Haji Idris pada 10 Julai di Istana Negara.
Selain Sultan Hassanal Bolkiah, Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa juga dijangka menghadiri istiadat pertabalan bersejarah Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas, menandakan bermulanya pemerintahan lima tahun baginda.
-- BERNAMA