REMBAU: Istiadat pertabalan atau 'Kerjan' Undang Luak Rembau yang baharu Datuk Sedia Raja Abd Rahim Yassin berlangsung penuh istiadat di kediamannya di Taman Rembau Utama di sini hari ini.

Majlis bermula 9 pagi itu turut dihadiri isterinya Toh Puan Shaadah Md Shariff, wakil rakyat, Datuk-Datuk Lembaga, Orang Besar Undang serta lain-lain.

Pemasyhuran Abd Rahim selaku Undang Luak Rembau ke-22 diadakan bagi menggantikan Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman, 83, yang meninggal dunia akibat sakit tua pada 15 Mei.

Pengisytiharan Abd Rahim, 68, itu diumumkan oleh Datuk Perba Abdul Razak Mohd Yassin diikuti dengan majlis menghadap sembah oleh semua Datuk-Datuk Lembaga, Orang Besar Undang dan buapak.

Istiadat pertabalan atau ‘Kerjan’ Undang Luak Rembau yang baharu Datuk Sedia Raja Abd Rahim Yassin (kiri) berlangsung penuh istiadat di kediamannya di Taman Rembau Utama di sini hari ini. - Foto Bernama

Terdahulu, Abdul Razak dalam ucapannya berkata istilah Kerjan digunakan khas kepada adat istiadat menabalkan Undang Luak Rembau dan upacara itu dilakukan di kediaman penyandang Undang.

Beliau berkata Dewan Keadilan dan Undang negeri dipengerusikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir akan menzahirkan dan mewartakan lantikan itu, kemudian ia disusuli istiadat menyalang iaitu acara bagi pengesahan dan meraikan penyandang Undang.

"Bagi istiadat Kerjan ini, turut dilangsungkan majlis bersiram semalam dan hari ini majlis pertabalan kemudian doa selamat dan tahlil pada sebelah malam.

Istiadat menyalang pula akan dilangsungkan pada tarikh ditetapkan kemudian," katanya kepada pemberita.

Pemilihan Undang di negeri ini perlu dipilih daripada calon-calon Suku Biduanda selaku suku asal di negeri ini dan terdapat 12 Suku dalam sistem Adat Perpatih.

Abd Rahim dilahirkan di daerah ini ialah Orang Besar Undang Yang Empat bergelar Datuk Shahbandar mulai Feb 1999 dalam Institusi Undang Luak Rembau.

Bekas guru itu pernah berkhidmat di beberapa sekolah di Kuala Lumpur dan negeri ini serta memegang jawatan sebagai Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Rembau sebelum bersara pada 2014.

Bapa kepada tujuh cahaya mata itu juga pernah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Daerah Rembau 2015 dan Tokoh Guru Daerah Rembau pada 2016 selain dilantik Ahli Majlis Daerah Rembau sejak 2017 sehingga kini.

-- BERNAMA