Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memberi jaminan akan mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam terhadap aduan pengguna teksi yang menggunakan aplikasi mudah alih 'MeterOn'.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata laporan salah laku terhadap pemandu teksi yang dibuat oleh pengguna menerusi aplikasi itu boleh digunakan sebagai bukti pendakwaan di mahkamah.

"Bagaimanapun, kes aduan pengguna akan disiasat sebelum kita mengeluarkan kompaun," katanya kepada pemberita selepas memperkenalkan aplikasi 'MeterOn' kepada orang ramai di pusat beli-belah KSL, di sini pada Rabu.

SPAD telah melancarkan aplikasi mudah alih itu dua minggu lepas sebagai platform lebih berkesan bagi menangani masalah pemandu teksi yang tidak beretika serta tidak mahu menggunakan meter.

Aplikasi itu membolehkan pengguna membuat pengesahan pemandu, menjejaki perjalanan, mendapat anggaran tambang bagi satu perjalanan dan menghantar isyarat SOS sekiranya berlaku kecemasan dalam perjalanan.

Aplikasi 'MeterOn', yang boleh dimuat turun secara percuma menerusi telefon mudah alih Android dan iPhone, telah menarik sebanyak 16,000 pengguna di seluruh negara untuk menggunakannya.

Syed Hamid berkata sejak pelancaran kemudahan itu, pihaknya telah menerima lebih 200 aduan menerusi aplikasi berkenaan.

Buat masa ini, lebih 46,000 teksi bermeter berdaftar dengan SPAD dan daripada jumlah itu, 36,000 teksi beroperasi di Lembah Klang.

Dalam perkembangan lain, Syed Hamid berkata sebuah jawatankuasa penambahbaikan akan ditubuhkan bagi mengkaji mutu perkhidmatan teksi berikutan kesan kenaikan harga tambang teksi baru-baru ini.

Menurutnya jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh SPAD dan dianggotai oleh persatuan dan pengusaha teksi dari seluruh negara.