Sistem parol atau program pemulihan dalam komuniti yang dilaksanakan ketika ini dilihat amat berkesan dalam mencegah jenayah berulang, dengan angka kemasukan balik bekas banduan ke dalam penjara kini amat rendah.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, kadar kemasukan balik ke penjara yang direkodkan sangat rendah, iaitu 0.4 peratus, jauh lebih kecil berbanding kadar kemasukan balik oleh penghuni yang menjalani program pemulihan dalam penjara iaitu 10 peratus.

Katanya sehubungan itu pihaknya merancang untuk memperluaskan program pemulihan dalam komuniti di seluruh negara dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk masyarakat, rakan industri dan sektor korporat.

"Kita sasarkan pada 2030 nanti, dua pertiga daripada penghuni penjara akan menjalani program pemulihan dalam komuniti, bagaimanapun ia hanya melibatkan pesalah jenayah ringan seperti curi, pukul dan dadah yang berseksyen rendah.

"Di Malaysia 70 peratus daripada penghuni penjara adalah di bawah kategori 'low risk' dan hanya 30 peratus sahaja yang 'high risk'...ini yang akan kekal di penjara," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian anugerah perkhidmatan cemerlang (APC) tahun 2019 peringkat negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Penjara Negeri Terengganu, Ahmad Saidi Hamzah dan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.

Zulkifli berkata selain berkesan mencegah jenayah berulang di kalangan pesalah, program pemulihan dalam komuniti juga mempunyai pelbagai kelebihan lain iaitu mengurangkan kesesakan dalam penjara dan menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

Katanya jabatan penjara menerima banyak permintaan daripada pihak industri untuk mendapatkan tenaga kerja daripada penjara termasuk di sektor perladangan, pembuatan dan perkilangan.

"Sekarang ini jumlah penghuni penjara di seluruh negara adalah seramai 67,000 orang dan bilangan ini sebenarnya sudah melebihi kapasiti iaitu pada kadar 53,830 orang. Jadi kita sedang usaha kembangkan program ini dan tengok perubahan dari segi akta untuk benarkan lebih ramai (penghuni penjara) berada di luar," katanya.

Seramai 41 pegawai penjara di pelbagai peringkat jawatan dipilih menerima anugerah di majlis hari ini.