SEREMBAN: Tanggal 31 Ogos bukan sahaja merupakan Hari Kebangsaan buat seorang banduan dikenali sebagai Teck, 52, malah tarikh bermakna itu akan diingatinya sampai bila-bila susulan mendapat pembebasan dua bulan lebih awal.

Lelaki yang sepatutnya menjalani hukuman penjara 10 tahun itu merupakan satu-satunya banduan di Negeri Sembilan yang dibebaskan awal susulan pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Hari Kebangsaan ke-67 hari ini.

Teck yang kelihatan ceria ketika ditemui pemberita berkata dia merasa terharu dan gembira dengan pengampunan yang diterima itu sehingga tidak dapat tidur lena malam tadi berikutan terlalu teruja.

Dia yang berasal dari Jelebu itu berkata perkara pertama yang ingin dilakukan selepas dibebaskan adalah untuk menghabiskan masa bermain dengan tiga anaknya di rumah berikutan hampir 10 tahun tidak dapat berbuat demikian.

"Sebelum ini banyak jenayah yang saya lakukan, merompak dan menyamun, bila ingat semula saya rasa sangat menyesal, ia adalah perbuatan yang salah. Selepas ini saya mahu bersama keluarga sepuas-puasnya, saya sayangkan mereka dan saya berjanji tidak akan ulang kesilapan itu.

"Ia membawa sinar baharu untuk saya. Saya nasihatkan kepada semua supaya jangan sesekali terlibat dengan kegiatan jenayah, jaga keluarga, anak dan isteri baik-baik, ia bagai mimpi ngeri sekiranya anda dimasukkan ke penjara," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Penjara Seremban Muhammad Naim Amir berkata Teck yang menjalani hukuman di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Mantin bertuah kerana namanya terpilih setelah mendapat perkenan Perintah Pembebasan Awal pada 22 Dis tahun lepas.

Beliau berkata Teck yang dijatuhi hukuman atas pelbagai kesalahan itu berjaya mendapat pengampunan setelah empat tahun menunggu namanya diusulkan kepada Lembaga Pengampunan dan hari ini ialah tarikh pelaksanaan pembebasan awalnya.

"Dia diberikan pembebasan dua bulan awal daripada tempoh sebenar setelah menjalani hukuman hampir 10 tahun di Penjara Bentong dan Penjara Sungai Buluh sebelum ditukarkan ke PRP Mantin," katanya ketika ditemui selepas membaca watikah pembebasan awal di PRP Mantin, di sini hari ini.

-- BERNAMA