Itu menjadi rahsia, bekas renjer daripada Batalion Ketiga Regimen Renjer, Sarjan Mohd Karim Wagiman dalam operasi menyingkirkan saki baki komunis pada awal tahun 70an hingga hujung 80an.
Beliau akui ada melihat rakan seperjuangan gugur ketika bertempur, malah ada di antara mereka hilang anggota badan akibat jerangkap samar.
Namun ia tidak pernah mematahkan semangat dan kekuatan cintakan tanah air ketika operasi Jelaku di Hutan Nunukan, Sarawak.
Malah, Mohd Karim yang berada di barisan hadapan Batalion 11 ketika itu berjaya melumpuhkan kekuatan komunis, biarpun keadaan geografi hutan tersebut dipenuhi kawasan berpaya.
"Mempunyai semangat jitu setia kawan dan berpasukan. Macam-maca saya lalui dalam tentera terutamanya unit renger yang tugasnya di hutan.
"Saya pada ketika itu, tahun 70an, memang boleh dikatakan pada ketika itu komunis mengganas, kerana semangat saya, mereka juga ada semangat. Kalau tiada semangat, dia tidak duduk di hutan dan diburu tentera tapi dia sanggup kenapa?
"Begitulah kita punya perjuangan dulu, tentera renger memang tidak lain tidak bukan, kita sentiasa cari musuh terutama komunis," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bendahara, Johor Bahru baru-baru ini.
Jelas Mohd Karim, 30 anggota renger terdiri daripada pelbagai masyarakat termasuk minoriti Sarawak, tetap bersatu demi menghapuskan saki baki pengganas komunis ketika itu.
Beliau turut menasihatkan agar masyarakat kini membuang rasa ego dan sifat keakuan dalam diri.
Sifat itu dilihat memberi kesan negatif dalam semangat kemasyarakatan yang kian pudar.
"Kita buang perasaan ego, buang perasaan aku aku, engkau engkau.
"Kalau kita perhatikan sekarang ini dalam masyarakat di kampung, bandar boleh kata macam itu seolah-olah jiran pun tak kenal, tak tahu nama, asal usul.
"Kita ini macam satu agama, bangsa kena buat sebagai keluarga," tegasnya.
Mohd Karim berkhidmat sebagai tentera selama 21 tahun sejak tahun 1970 dan bersara pada tahun 1991.
Pemegang nombor badan 930238 ini, tetap semangat dan mengingati rakan seperjuangannya dengan mengadakan majlis bersama mereka setiap tahun.