RICHMOND: Seorang renjer taman peringatan di Amerika Syarikat (AS) memang amat mencintai kerjayanya dan sangat berdedikasi hinggakan dia akhirnya mengumumkan persaraan pada usia 100 tahun!

Betty Reid Soskin bersara pada Khamis selepas lebih 15 tahun berkhidmat di Rosie the Riveter/WWII Home Front National Historical Park di Richmond, California. Pusat itu, yang di bawah kendalian Taman Negara AS, merupakan destinasi ilmiah untuk mengetahui tentang sejarah setempat.

Persaraannya yang disahkan pihak Perkhidmatan Taman Negara itu disempurnakan dengan menyertai program interpretif kepada umum serta melawat teman-teman sekerjanya pada hari-hari terakhir.

Soskin lazimnya mengetuai rombongan awam ke taman peringatan dan muzium itu, yang mengangkat martabat wanita dalam sektor perindustrian semasa zaman perang, malah berkongsi pengalamannya sendiri sebagai wanita berkulit hitam sewaktu konflik berkenaan.


Dia pernah berkhidmat dengan Tentera Udara AS pada tahun 1942, namun melepaskan jawatan setelah mengetahui bahawa dia diambil bekerja hanya kerana ketuanya percaya bahawa dia berkulit putih, menurut biografi taman peringatan itu.

“Menjadi sumber utama dalam perkongsian sejarah itu – sejarah saya – dan membentuk pengisian taman peringatan yang baharu sangat mengujakan dan berbaloi. Ia terbukti memberi makna kepada tahun-tahun terakhir saya,” ujar Soskin.

Soskin diterima bertugas sebagai pegawai khidmat taman itu pada usia 84 tahun dan menjadi pekerja tetap pada tahun 2011. Dia menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-100 pada September lalu.

“Soskin meninggalkan impak kepada Perkhidmatan Taman Negara dan cara kami meneruskan misi kami. Usahanya mengingatkan kita bahawa kita mesti terus mencari maklumat dan menilai setiap perspektif supaya kita boleh menyampaikan cerita sejarah secara menyeluruh dan inklusif,” kata Pengarah Taman tersebut, Chuck Sams.


Soskin dilahirkan di Detroit pada 1921 dan pernah berdepan bencana banjir besar Mississippi pada tahun 1927 ketika tinggal di New Orleans.

Keluarganya kemudian berpindah ke Oakland, California dan Soskin bermastautin di San Francisco Bay, di mana pada tahun 1945, dia bersama suami pertamanya menjalankan operasi kedai muzik pertama yang dimiliki orang kulit hitam di kawasan tersebut.

Dia juga seorang aktivis hak-hak asasi dan terlibat dalam perbincangan untuk membangunkan taman peringatan Home Front.


Dia pernah diiktiraf sebagai Tokoh Wanita California pada 1995, dan pada 2015 pula, mendapat penghormatan daripada Presiden Barack Obama untuk menyalakan pokok krismas di White House.

Pada Jun 2016, terjadi insiden buruk kepadanya apabila kediamannya dimasuki perompak yang menumbuknya berkali-kali di bahagian muka, mengheretnya keluar dari bilik tidur dan dipukul lagi semata-mata untuk mendapatkan wang dan beberapa barangan lain.

Soskin, yang pada ketika itu berusia 94 tahun, kembali masuk bertugas sejurus pulih beberapa minggu selepas serangan itu.


* Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!