Aktiviti spesifik sektor pelancongan, seni dan kebudayaan di Sarawak akan dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula Rabu ini, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Katanya pengendali pelancongan, pemandu pelancong, inap desa, hotel, pengembaraan dan pelancongan ekstrem, selam skuba dan selam snorkel, taman tema (taman kering sahaja) akan dibenarkan beroperasi, tetapi harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

"Garis panduan asas mengenai jarakan sosial, kebersihan diri, pengimbasan suhu, sanitasi kemudahan awam harus dipatuhi. Sementara kakitangan, tetamu dan kontraktor perlu memuat turun aplikasi MySejahtera dan COVIDTrace Sarawak bagi memudahkan pengesanan kontak," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya pengendali pelancongan boleh menjual dan menerima tempahan pakej-pakej pelancongan domestik bagi aktiviti yang dibenarkan oleh kerajaan, namun pakej pelancongan ke luar negara tidak dibenarkan.

"Pemandu pelancong pula bertanggungjawab untuk memastikan pelancong di bawah seliaan mereka mematuhi aspek jarakan sosial dan kebersihan diri. Pengusaha hotel perlu mengehadkan kapasiti bilik mesyuarat atau dewan persidangan setakat 50 peratus dan tetamu yang hadir harus mengamalkan jarakan sosial, manakala rekod perincian tetamu mesti disimpan sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan," katanya.

Abdul Karim berkata operasi sauna, kolam renang, ruang santai, pub, bar, karaoke dan restoran bufet masih tidak dibenarkan, manakala sekolah muzik, tarian atau teater serta studio fotografi boleh beroperasi bermula Rabu ini dengan pematuhan SOP yang akan dimaklumkan kepada pengendali dan pelanggan mereka.

Katanya Taman Negara Kubah, Gunung Gading, Tanjung Datu, Santubong, Talang-Satang, Gua Angin dan Gua Pari-pari, Batang Ai, Samajaya, Maludam, Gunung Mulu, Lambir, Niah, Loagan Bunut dan Pulong Tau akan dibuka bermula 17 Jun, sementara Bako, Terumbu Karang Miri-Sibuti, Pusat Hidupan Liar Semenggoh dan Kuching Wetlands pada 22 Jun.

"Untuk Taman Negara, aktiviti rekreasi dan pegembaraan, berjalan kaki di alam semula jadi, meneroka gua, snorkeling dan selam skuba, dengan atau tanpa pemandu taman, aktiviti melihat hidupan liar dan ekspedisi di kawasan yang dilindungi sepenuhnya dan pusat hidupan liar juga dibenarkan," katanya.

Abdul Karim berkata 'trekking' santai dihadkan kepada maksimum 10 orang setiap kumpulan pada satu-satu masa di setiap laluan, manakala untuk 'trekking' pengembaraan dihadkan antara dua hingga lapan orang melibatkan hanya laluan hutan tertentu dengan tidak melebihi lima jam berjalan kaki dibenarkan untuk akses.

"Bagi penerokaan gua, hanya minimum dua orang dan maksimum lapan orang setiap kumpulan dibenarkan masuk pada bila-bila masa dan perlu dipandu," katanya, sambil menambah perincian SOP lain boleh dimuat turun melalui laman web kementerian di mtac.sarawak.gov.my.

-- BERNAMA