KUCHING: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Persekutuan (MOTAC) dimohon agar mempertimbangkan keputusan menghentikan operasi permohonanan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang bakal menjejaskan sektor pelancongan khususnya di Sabah dan Sarawak.


Ringkasan AI
  • Program Malaysia Rumah Keduaku dipromosikan oleh Kerajaan Malaysia untuk membenarkan warga asing atau pesara negara asing yang memenuhi syarat menetap di Malaysia sebagai tempat kedua mereka.
  • Visa MM2H diberikan selama 10 tahun dan boleh diperbaharui tanpa syarat -tempoh minima menetap di Malaysia.
  • Baru-baru ini, Kementerian Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan Persekutuan mengeluarkan pekeliling yang menghentikan operasi permohonan program MM2H, khususnya di Sabah dan Sarawak.
  • Namun, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berpendapat bahawa MOTAC sepatutnya berbincang dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sebelum mengeluarkan pekeliling itu.


Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata perbincangan bersama kerajaan Persekutuan berkaitan isu berkenaan akan dilakukan memandangkan kedua-dua negeri itu mempunyai hak autonomi untuk menguruskan hal pelancongan.

"Kedua-dua negeri ini mempunyai syarat berlainan sedikit untuk MM2H. Contohnya di Sarawak, pemohon perlukan RM150,000 deposit tetap berbanding RM1 juta di Semenanjung, jadi sebab itu permintaan program di negeri ini melonjak naik.

"Kuasa autonomi ada pada kita dan kita mempunyai hak imigresen mengenai hal ini. Kita tidak mahu menimbulkan masalah tetapi kita berharap kerajaan Persekutuan menerusi MOTAC turut bertimbang rasa dengan dasar yang kami laksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat tapak Rainforest World Music Festival (RWMF) di Kampung Budaya Sarawak, hari ini.

Difahamkan, MOTAC telah mengeluarkan pekeliling bertarikh 27 Mei 2024 kepada semua ejen berlesen yang mengendalikan permohonan MM2H, termasuk di Sabah dan Sarawak, untuk menghentikan operasi mereka.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata MOTAC sepatutnya berbincang terlebih dahulu dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sebelum mengeluarkan pekeliling itu.

"Kalau MOTAC tidak mahu lanjutkan program itu sebab sedang fikirkan untuk wujudkan dasar sendiri, maka laksanakanlah dasar itu di Semenanjung sahaja, jangan kacau Sabah dan Sarawak," katanya.

Mengenai persiapan RWMF 2024, beliau berkata kerabat diraja serta pemimpin dari luar Sarawak dijangka menjadi antara tetamu kehormat di acara berkenaan yang memasuki edisi ke-27 tahun ini.

"Ini menunjukkan pemilihan artis dan persembahan tahun ini cukup baik, sekali gus, menarik minat mereka untuk hadir," katanya.

Bertemakan "Evolusi", RWMF 2024 bakal berlangsung pada 28 hingga 30 Jun ini melibatkan 20 persembahan terdiri daripada 68 pemuzik antarabangsa dari 14 negara bersama 63 artis Malaysia.

-- BERNAMA