KUCHING: Sarawak mahu penjelasan daripada kerajaan Persekutuan mengenai penurunan 'kuasa' yang melibatkan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).


Ringkasan AI
  • Sarawak meminta penjelasan dari kerajaan Persekutuan mengenai penurunan kuasa dalam program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).
  • Menteri Abdul Karim Rahman Hamzah ingin tahu jika penurunan kuasa termasuk hak Sarawak dan Sabah untuk mengeluarkan lesen kepada agensi yang mengendalikan MM2H.
  • Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, akan bertemu Premier Sarawak dalam masa seminggu untuk perbincangan lanjut. Peraturan baharu MM2H dijangka mendapat kelulusan Kabinet dan diumumkan tidak lama lagi.


Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sehingga kini kementeriannya masih belum menerima penjelasan yang terperinci.

"Saya diberitahu bahawa program MM2H akan diturun kuasa oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), saya hanya ingin tahu apa itu 'turun kuasa'?

"Adakah ia termasuk Sarawak akan mengeluarkan lesen kepada agensi-agensi, mereka yang akan mengendalikan MM2H, adakah Sarawak dan Sabah diberi hak tersebut?," katanya selepas perasmian sidang Kemuncak Belia Hutan Hujan 2024 di sini hari ini.

Karim berkata beliau dimaklumkan bahawa Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing akan mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi membincangkan perkara tersebut.

"Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing akan bertemu Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam masa seminggu lagi untuk perbincangan," katanya.

Sebelum ini, Tiong dilaporkan berkata peraturan baharu bagi program MM2H akan mendapat kelulusan Kabinet dan pengumuman mengenai perinciannya dijangka dibuat dalam masa terdekat.

MM2H telah diperkenalkan pada 2002 bagi membenarkan warga asing membeli hartanah dan tinggal di Malaysia, namun program tersebut telah dibekukan sementara pada Ogos 2020 bagi memberi ruang kepada Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengkaji serta menilai semula program itu secara komprehensif.

-- BERNAMA