“Kami bernasib baik kerana peluru tidak mengenai kami walaupun ia hampir mengenai adik saya.”

Demikian luahan Syazwani Zulkifli, 22 tahun, salah seorang ahli keluarga yang menerima ancaman peluru awal pagi ini.

Dalam kejadian tersebut, empat sekeluarga di Kampung Kerdap di sini dalam ketakutan selepas rumah mereka dihujani lebih lapan das tembakan oleh individu yang tidak dikenali sekitar jam 2.56 pagi.

Menurut anak kedua dari keluarga itu, mereka sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi tembakan bertalu-talu.

Peluru dari tembakan yang dilepaskan bertalu-talu kelihatan bertaburan di luar rumah. - Astro AWANI

Anggota forensik polis menjalankan kerja-kerja menyiasat kejadian yang berlaku awal pagi ini. - Astro AWANI
Syazwani mendakwa, tembakan itu disasarkan ke rumahnya kerana dia mendengar bunyi kaca tingkap yang pecah dan peluru yang mengenai dinding.

Dia dan keluarga tidak berani keluar rumah dan menunggu sehingga hari cerah untuk melihat keadaan rumah, katanya sambil menambah, tembakan itu reda selepas lima minit.

Katanya, selain tingkap kaca, langsir dan dinding bilik tidur yang terkena tembakan, adiknya yang sedang tidur juga nyaris terkena peluru sesat.

Tambahnya, kejadian tersebut merupakan kali ketiga berlaku kepada keluarganya selepas kejadian pertama dan kedua pada awal bulan lalu.

Salah seorang anggota keluarga Syazwani menunjukkan kepada peluru yang sesat di dalam rumah. - Astro AWANI

“Tembakan dilepaskan bertalu-talu sekitar jam 2.56 pagi tadi. Kami ketakutan. Kami sangka ibu dan ayah terkena (tembakan) sebab mereka tidak bersuara.

"Tak sangka peluru menuju ke arah adik saya. Nasib baik tak terkena dia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya petang ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Abdullah Mohammad Piah berkata, pihaknya menerima laporan kes itu pada jam 12.30 tengah hari.

“Dari penyiasatan, kita jumpai empat kelonsong peluru 9mm dan tiga kepala peluru di bilik tidur. Kita sedang menyiasat motif tembakan ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana kesalahan melepaskan tembakan di tempat awam.