Tinjauan itu mendapati 46 peratus daripada kira-kira 1,000 rakyat Denmark yang disoal melihat AS sebagai "ancaman yang sangat besar" atau "ancaman yang agak besar" kepada negara mereka - lebih tinggi berbanding mereka yang menganggap Korea Utara (44 peratus) atau Iran (40 peratus) sebagai ancaman.
Penentangan umum terhadap usaha Presiden AS Donald Trump untuk menguasai Greenland kekal tinggi, dengan 78 peratus rakyat Denmark menolak idea menjual pulau itu. Selain itu, 72 peratus percaya keputusan mengenai masa depan Greenland sepatutnya ditentukan oleh penduduk pulau itu sendiri dan bukan oleh Denmark.
Trump sebelum ini menyatakan bahawa memiliki Greenland adalah "keperluan mutlak" bagi AS tetapi Perdana Menteri Greenland Mute Egede menegaskan bahawa pulau itu tidak untuk dijual.
Pada awal Januari, Penasihat Keselamatan Negara yang dilantik Trump Mike Waltz berkata Presiden AS itu bersedia mempertimbangkan semua pilihan untuk memperoleh Greenland, termasuk penggunaan kekuatan tentera.
Greenland merupakan tanah jajahan Denmark sehingga 1953. Ia kekal sebagai sebahagian daripada Kerajaan Denmark tetapi memperoleh autonomi pada 2009 dengan keupayaan untuk mentadbir sendiri dan membuat keputusan dasar domestik secara bebas.
--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI