SEOUL: Ancaman tidak kelihatan termasuk keganasan siber, deepfake, kempen maklumat palsu, bencana berskala besar dan penyakit berjangkit tidak boleh ditangani semata-mata melalui pertahanan negara, menurut Perdana Menteri Korea Selatan Han Duck Soo.

"Ia memerlukan komitmen dan usaha masyarakat antarabangsa untuk menangani ancaman ini, yang kini menjadi tugas penting.

"Pada masa ini, Korea Selatan sedang menerajui usaha untuk menjadi negara global yang penting melalui sektor seperti semikonduktor, industri hijau, dan industri budaya, sambil mengekalkan kewaspadaan ketenteraan terhadap ancaman Korea Utara, yang telah berlarutan selama lebih 70 tahun," katanya dalam ucapannya pada Dialog Pertahanan Seoul (SDD) 2024 di sini, Rabu.

Mengenai Korea Utara, Han menyatakan bahawa negara itu telah menjalin perkongsian strategik yang rapat dengan Rusia, baik dari segi ketenteraan dan ekonomi, ia kini bukan sahaja menimbulkan ancaman keselamatan di Semenanjung Korea tetapi juga di peringkat global.

Han berkata Korea Selatan bertindak balas dengan tegas terhadap provokasi dan ancaman Korea Utara berdasarkan kekuatan dan pakatan yang kukuh.

Turut hadir pada dialog itu ialah Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

SDD telah berkembang menjadi platform antarabangsa untuk integrasi dan perpaduan, meneroka pelbagai isu global secara mendalam. Ia telah menyaksikan penyertaan daripada 900 perwakilan dari 64 negara, termasuk wakil peringkat menteri dari lapan negara.

-- BERNAMA