SEOUL: Polis pada Khamis mengumumkan bahawa mereka menjalankan siasatan terhadap mesej ugutan yang disiarkan di laman web Kedutaan Jerman di Seoul, lapor Agensi Berita Yonhap.

Hampir 100 mesej disiarkan di laman web itu sejak Selasa, termasuk ancaman untuk memasang bahan letupan di kedutaan atau meletupkan kemudahan utama, seperti Stesen Seoul dan Pusat Perubatan Asan, menurut Balai Polis Namdaemun.

Teks itu ditulis dalam bahasa Jerman, Korea dan Jepun, kata polis.

Mesej itu tidak menunjukkan bila letupan akan berlaku, tetapi polis berkata kandungan dan formatnya kelihatan serupa dengan rentetan e-mel dan faks mengancam yang dihantar kepada agensi awam tempatan sejak Ogos lepas.

Polis mengadakan rondaan di lokasi yang disebutkan, termasuk kedutaan, selepas menerima laporan tentang mesej itu pada petang Khamis tetapi tidak menemukan bahan letupan.

Polis sedang mengesan alamat IP penulis mesej itu.

-- BERNAMA