Biro Penyiasatan Nasional menyerahkan sepina di pejabat Duterte dan meminta agar beliau hadir di hadapan pengarah biro pada Jumaat.
Sepina itu menyatakan yang Duterte dipanggil "untuk memberikan penjelasan mengenai siasatan berhubung ancaman berat yang didakwa di bawah (Akta Pencegahan Jenayah Siber) dan kemungkinan pelanggaran (Akta Antikeganasan)."
Pada Sabtu, Duterte berkata beliau telah bercakap dengan seseorang yang bersetuju untuk membunuh Marcos, wanita pertama dan speaker Dewan Rakyat, yang merupakan sepupu presiden, sekiranya beliau dibunuh.
Dalam satu kenyataan sebelum sepina dikeluarkan terhadapnya, timbalan presiden berkata kenyataannya itu "diambil di luar konteks logiknya."
"Desakan pentadbiran Marcos bahawa nyawa presiden berada di bawah ancaman aktif adalah menakutkan," katanya.
"Tidak ada bukti nyata dan walaupun tanpa siasatan yang boleh dipercayai, pihak berkuasa pula dengan cepat menganggap ini sebagai isu keselamatan negara."
"Akal sehat seharusnya mencukupi untuk kita memahami dan menerima bahawa tindakan balas dendam yang bersifat bersyarat tidak seharusnya dianggap sebagai...ancaman aktif," tambahnya.
"Ini adalah (rancangan) tanpa...asas. Saya yakin siasatan yang jujur akan dengan mudah mendedahkan naratif ini sebagai gurauan, rekaan atau tidak ada apa-apa langsung."
-- BERNAMA