KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Selasa ketika pasaran memasuki 2023 dengan peningkatan kebimbangan terhadap dasar Rizab Persekutuan (Fed) dan pemulihan China daripada masalah COVID-19.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.4050/4084 berbanding dolar AS daripada 4.3995/4095 ketika ditutup pada Jumaat.

Pasaran ditutup pada 2 Jan untuk cuti gantian Tahun Baharu.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes memberitahu Bernama Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan yang lebih lemah daripada jangkaan menjangkakan pemulihan mungkin sukar.

"Oleh itu, ringgit merosot daripada kenaikan pada awal pagi berikutan dolar AS menjadi lebih kukuh sedikit mungkin disebabkan ketidaktentuan terhadap dasar Fed yang menyaksikan segelintir pihak berpendapat pemotongan kadar tidak mungkin berlaku pada 2023," katanya.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia naik berbanding pound Britain kepada 5.2538/2579 daripada 5.2930/3051 ketika ditutup Jumaat lepas, menokok berbanding euro kepada 4.6460/6495 daripada 4.6881/6988 sebelum itu dan meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.2768/2798 daripada 3.2786/2865.

Bagaimanapun, ringgit turun berbanding yen Jepun kepada 3.3755/3786 daripada 3.3307/3385 pada Jumaat.

-- BERNAMA