KUALA LUMPUR: Ringgit melepasi paras 4.30 hari ini, mencecah paras tertingginya dalam tempoh 20 bulan berbanding dolar AS apabila para peniaga menjangkakan Rizab Persekutuan (Fed) menurunkan kadar antara 25 dan 50 mata asas, kata seorang pakar ekonomi.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.2975/3050 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3330/3370 pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit mencatatkan prestasi kukuh hari ini melepasi paras sokongannya pada RM4.3259 dan paras sokongan seterusnya dijangkakan pada RM4.2128.

"Pasaran nampaknya menjangkakan penurunan kadar Fed antara 25 dan 50 mata asas. Melihat daripada kontrak niaga hadapan faedah, Fed Amerika Syarikat mungkin cenderung menurunkan sebanyak 50 mata asas yang akan menjadikan Kadar Dana Fed berada pada 5.00 peratus daripada 5.50 peratus.

"Ini akan mengurangkan jurang dengan kadar dasar semalaman Malaysia pada 3.00 peratus," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit mengukuh susulan kelemahan dolar AS menjelang penurunan kadar Fed yang begitu dinanti-nantikan pasaran.

"Fed dijangka mengambil langkah lebih agresif minggu depan berikutan inflasi yang makin mereda dan gesaan oleh bekas presiden Fed New York Bill Dudley agar Fed beralih daripada pendirian bergantung kepada data kepada pendekatan berpandangan kehadapan.

"Peralihan dalam sentimen ini telah mendorong kemungkinan penurunan lebih daripada 50 mata asas yang seterusnya akan mencetuskan penjualan dolar, yang bakal memberi manfaat kepada mata wang serantau seperti ringgit," katanya.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.7664/7747 daripada 4.7724/7768 pada Khamis, naik berbanding pound Britain kepada 5.6439/6538 daripada 5.6550/6602 sebelumnya tetapi susut berbanding yen Jepun kepada 3.0570/0625 daripada 3.0364/0395.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3098/3159 daripada 3.3190/3224, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 278.9/279.6 daripada 280.6/281.0 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 7.67/7.69 daripada 7.71/7.73 tetatpi turun berbanding baht Thailand kepada 12.8907/9190 daripada 12.8351/8527 sebelumnya.

-- BERNAMA