KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan kenaikannya pada Khamis untuk ditutup lebih kukuh berbanding dolar AS disebabkan jangkaan yang makin meningkat terhadap penurunan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS), kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu meningkat berbanding dolar AS kepada 4.3360/3400 daripada 4.3505/3560 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit mendapat sokongan yang baik hari ini selepas Indeks Dolar AS merosot susulan data pasaran buruh yang lemah di AS.

Data peluang pekerjaan belum diisi dan tinjauan pusing ganti buruh (JOLTS) yang dikeluarkan pada Rabu menunjukkan pekerjaan baru di AS merosot lebih daripada jangkaan kepada 7.673 juta pada Julai, berbanding 7.91 juta pada Jun.

"Ia menjadi teruk dengan pekerjaan baru merosot lebih daripada jangkaan pada Julai, menunjukkan Rizab Persekutuan mungkin perlu tegas untuk melonggarkan dasar monetarinya bagi mencapai apa yang dipanggil penurunan berperingkat," kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Di dalam negara pula, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) telah memutuskan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus dalam mesyuaratnya hari ini.

Mohd Afzanizam berkata kadar OPR itu disifatkan menyokong pertumbuhan. Oleh itu, beliau percaya BNM mungkin mengekalkan OPR stabil pada 3.00 peratus untuk baki 2024.

"Langkah ini sepatutnya positif untuk ringgit kerana jurang antara Kadar Dana Fed dan OPR akan mengecil dalam tempoh terdekat," katanya.

Sementara itu, ringgit ketika ditutup diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu ditutup lebih tinggi berbanding pound Britiain kepada 5.7049/7101 daripada 5.7052/7125 pada penutup Rabu, tetapi rendah sedikit berbanding euro kepada 4.8099/8144 daripada 4.8082/8143 dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.0189/0219 daripada 2.9981/3.0021 semalam.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.

Mata wang tempatan itu susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3303/3336 daripada 3.3299/3344 semalam dan turun berbanding rupiah Indonesia kepada 281.5/281.9 daripada 281.0/281.5.

Ia jatuh berbanding peso Filipina kepada 7.71/7.72 daripada 7.69/7.70 dan lemah berbanding baht Thailand kepada 12.8772/8940 daripada 12.7096/7294 sebelumnya.

-- BERNAMA