KUALA LUMPUR: MyDigital ID akan terus memperluaskan integrasi dengan lebih banyak penyedia perkhidmatan dari pelbagai sektor, terutamanya dalam sektor kewangan dan e-wallet.


Ringkasan AI
  • MyDigital ID akan terus memperluaskan integrasi dengan lebih banyak penyedia perkhidmatan dari pelbagai sektor, terutamanya dalam sektor kewangan dan e-wallet.
  • MyDigital ID juga akan memperbanyakkan penggunaannya merentasi institusi kewangan, aplikasi-aplikasi kerajaan, aplikasi di universiti dan kerjasama dengan syarikat telco sebagai fokus utamanya pada tahun hadapan.
  • Setakat ini, sebanyak lapan universiti telah menyatakan persetujuan untuk menggunakan MyDigital ID dan kini berada dalam fasa perbincangan teknikal.


Menurut Ketua Pegawai Operasi MyDigital ID, Mohd Azuddin Parman, usaha ini bagi memastikan akses yang lebih cepat dan mudah kepada perkhidmatan kewangan untuk rakyat Malaysia.

Selain itu, MyDigital ID juga akan memperbanyakkan penggunaannya merentasi institusi kewangan, aplikasi-aplikasi kerajaan, aplikasi di universiti dan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi (telco) sebagai fokus utamanya pada tahun hadapan.

‘’Kami akan pastikan banyak aplikasi akan datang terutama dalam segi institut kewangan. (Ketika ini) yang dah pasti ada 15 bank yang dah bersetuju dengan bantuan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk integrasi dengan kami.

“Kita bermula dengan empat bank seperti Maybank, OCBC dan ada dua lagi jadi bermula dengan empat bank dan ada 15 bank (setakat ini).

‘’MyDigital ID juga akan berintegrasi dengan dengan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan juga kita akan buat jelajah satu Malaysia bersama-sama NADI dan kita juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan syarikat telco perbincangan dah dibuat dan setakat ini tiga syarikat telco sudah bersetuju berintegrasi dengan kami,’’ katanya.

Setakat ini, sebanyak lapan universiti telah menyatakan persetujuan untuk menggunakan MyDigital ID dan kini berada dalam fasa perbincangan teknikal.

Tambah Mohd Azuddin, dengan penggunaan MyDigital ID di universiti, pihaknya berharap dapat memastikan penggunaannya melibatkan semua peringkat usia dan golongan, tidak terhad kepada satu kelompok sahaja.

Pada masa sama katanya, MyDigital ID juga sedang mengkaji beberapa penambahbaikan penggunaan aplikasi ini dan beberapa penambahbaikan telah dilakukan antaranya pengguna kini tidak lagi perlu pergi ke kiosk sekiranya terlupa kata laluan, ingin menukar kata laluan atau kehilangan peranti.

Ini kerana proses tersebut boleh terus dilakukan melalui aplikasi MyDigital ID.

Sejak dilancarkan, aplikasi ini berjaya mencatat 1.2 juta pengguna dalam tempoh setahun

Sepanjang 2024, pelbagai inisiatif dan aktiviti dijalankan untuk menarik pengguna mendaftar dengan MyDigital ID.

Sejak pelancarannya, aplikasi ini telah menunjukkan perkembangan positif, selaras dengan peningkatan penggunaan platform digital oleh rakyat Malaysia.

MyDigital ID menyambut baik aplikasi-aplikasi yang ingin berintegrasi dengan pihaknya untuk kemudahan log masuk tunggal seperti yang disarankan oleh kerajaan.

Sehingga hari ini, MyDigital ID mencatatkan lebih 1.2 juta pengguna berdaftar dalam tempoh satu tahun.