PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi memohon maaf kepada Jemaah Menteri susulan tindakannya melepaskan kemarahan dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara pada Rabu lalu.


Ringkasan AI
  • Permohonan maaf Anwar Ibrahim: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memohon maaf kepada Jemaah Menteri atas tindakannya melepaskan kemarahan dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara, yang disifatkan sebagai di luar karakternya.
  • Kelewatan inisiatif digital: Anwar berang dengan kelewatan pelaksanaan dua inisiatif transformasi digital, MyDigital ID dan rangkaian 5G kedua, yang dianggapnya lambat dan cuai sehingga menjejaskan agenda kemajuan negara.
  • Pemulihan stesen pemancar: Sebanyak 267 daripada 323 stesen pemancar telekomunikasi yang terjejas akibat banjir telah pulih, manakala 56 masih belum beroperasi. Selain itu, 81 daripada 91 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang terkesan akibat banjir telah kembali beroperasi.


Menurut Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil, permohonan maaf itu dibuat Anwar dengan menyifatkan ia adalah sesuatu di luar karakternya.

“Perdana Menteri bagi penjelasan sebab beliau mohon maaf kerana beliau rasa dalam bahasa Inggeris disebut very out of character atau berada di luar perwatakannya,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet mingguan, di sini, pada Jumaat.

Dalam perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan pada Khamis, Anwar yang juga Menteri Kewangan berang dengan kelewatan pelaksanaan dua inisiatif transformasi digital iaitu MyDigital ID dan rangkaian 5G kedua.

Anwar menyifatkan pelaksanaan kerja itu lambat dan cuai sehingga menjejaskan agenda kemajuan negara dalam transformasi digital ke arah kecerdasan buatan (AI).

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, tindakan Anwar itu menunjukkan bahawa Perdana Menteri berpendapat dua inisiatif berkenaan seharusnya bergerak dengan lebih pantas.

[TERKINI] Sidang Media Mingguan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil


Sementara itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan, sebanyak 267 daripada 323 stesen pemancar telekomunikasi yang terjejas akibat banjir kini kembali pulih manakala 56 masih belum beroperasi.

Jelasnya, daripada 91 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang terkesan akibat banjir, 81 telah kembali beroperasi.