KUALA LUMPUR: Ringgit yang menunjukkan prestasi memberangsangkan, menambah nilai sebanyak 14.9 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku ketiga 2024 didorong oleh beberapa faktor penting yang meningkatkan keyakinan pelabur.

Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, antara pendorong utama adalah prospek pertumbuhan positif serta pelaksanaan reformasi struktur oleh kerajaan.

“Pelonggaran dasar monetari oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS dengan jangkaan penurunan kadar faedah yang berterusan menjelang 2025, turut menyumbang kepada sokongan terhadap ringgit.

“Usaha berterusan oleh kerajaan dan BNM untuk memastikan aliran dua hala dalam pasaran pertukaran asing domestik, termasuk pengembangan program perintis QRI (Pelabur Residen Berkelayakan) kepada lebih banyak syarikat korporat yang layak sehingga 30 Jun 2025, merupakan langkah tambahan yang memberi impak positif,” jelas Abdul Rasheed pada sidang media, hari ini.

Tambah beliau, pembangunan global dan domestik yang menggalakkan diharapkan terus menyokong pengukuhan ringgit.

Walaupun kadar faedah AS menurun secara perlahan disebabkan ekonomi AS yang kukuh, ketegangan geopolitik dan ketidakpastian selepas pilihan raya Presiden negara itu dijangka membuat pelabur memilih AS sebagai tempat yang lebih selamat untuk melabur.

Namun, Abdul Rasheed berkata, risiko penurunan tetap wujud, terutamanya dari faktor luaran.

“Antaranya termasuk perbezaan kadar faedah yang mengecil antara AS dan Malaysia serta momentum pertumbuhan yang kukuh dan reformasi yang sedang berjalan,” jelas beliau lagi.